Jangan cari penyakit

0
71



Statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2016 mendedahkan 10 peratus ibu bapa di Malaysia menolak pemberian vaksin kepada anak mereka sedangkan kegagalan itu menyebabkan anak-anak lebih mudah terkena penyakit berjangkit seperti difteria dan demam campak (measles).

Mengambil difteria sebagai contoh, ia disebabkan bakteria ‘Corynebacterium diphtheriae’ yang mudah tersebar melalui titisan cecair pernafasan apabila seseorang itu dijangkiti batuk, bersin atau bercakap.

Bakteria berkenaan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan leher sehingga pesakit sukar bernafas dan menelan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Rohani Jahis berkata, selaput lembut berwarna kelabu atau putih di sekitar tekak akan terbentuk yang menyebabkan pesakit sukar bernafas dan menelan selain bengkak pada kelenjar leher.

“Kami menyokong vaksin difteria diberikan kepada semua bayi dan kanak-kanak kerana kadar kematian akibat jangkitan difteria yang dilaporkan di Malaysia adalah tinggi.

“Tahun lalu, sebanyak 31 kes jangkitan difteria dilaporkan di Malaysia dan daripada jumlah itu, lima kematian direkodkan,” katanya.

Menurut Dr Rohani, jika kanak-kanak tidak diberi vaksin atau tidak menerima sekurang-kurangnya tiga dos vaksin, mereka mudah terkena penyakit itu.

Namun, jika kanak-kanak itu menerima sekurang-kurangnya tiga dos vaksin difteria, peluang untuk dijangkiti penyakit difteria serius adalah tipis.

“Ibu bapa di negara ini beruntung kerana mereka boleh mendapatkan suntikan imunisasi melawan difteria secara percuma di klinik kesihatan awam pada usia bayi dua, tiga dan lima bulan.

“Dos tambahan seterusnya akan diberi ketika usia 18 bulan dan tujuh tahun,” katanya.

Walaupun kerajaan menyediakan vaksin difteria percuma untuk bayi yang dilahirkan di Malaysia buat sekian lama dan jumlah kes membabitkan penyakit berjangkit itu semakin menurun, kes masih berlaku dari semasa ke semasa.

Selain itu, kecenderungan ibu bapa terikut-ikut pandangan dan kepercayaan salah berkaitan vaksin turut membimbangkan.

“Ada menganggap vaksin itu mengandungi bahan terlarang yang tidak dibenarkan agama.

“Ada mengamalkan perubatan homeopati dan naturopati serta menolak vaksin dan ada juga yang terlalu sibuk sehingga terlupa atau tidak mengikut jadual pemberian suntikan imunisasi yang ditetapkan untuk anak mereka,” katanya.

Justeru, beliau menasihati ibu bapa mendapatkan maklumat mengenai vaksin daripada sumber yang betul dan mempunyai kredibiliti. Segera dapatkan vaksinasi demi kesihatan anak-anak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here