Jangan nak raya sangat FELCRA

0
442
Advertisement



KUALA LUMPUR: Kapten FELCRA FC, Shahrom Kalam meminta rakan sepasukan agar mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk memberi tumpuan kepada baki sembilan perlawanan Liga Perdana yang bakal bersambung pada 19 Jun ini.

Selepas mengalami kekalahan 0-2 kepada UKM FC, Jumaat lalu sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah mereka, Shahrom berkata pasukan itu tidak boleh keciciran mata lagi bagi memenuhi hajat menduduki tangga kedua, seterusnya layak secara automatik ke Liga Super, musim depan.

Pemain berpengalaman itu juga mahu mereka mengambil iktibar daripada kekalahan sulung itu agar tidak memandang mudah terhadap mana-mana pasukan bakal ditemui kerana semua pasukan menunjukkan peningkatan pada pusingan kedua.

“Berdasarkan persembahan musim ini serta kedudukan kami sekarang, FELCRA FC mempunyai potensi untuk mencapai tangga kedua dan layak ke Liga Super. Peluang itu tidak patut kami lepaskan.

“Namun, pemain perlu bekerja lebih keras untuk menghadapi baki perlawanan kerana pasukan seperti MIFA dan PDRM yang kini berada di tangga kedua dan keempat, juga mempunyai matlamat dan peluang serupa.

“Malah, pasukan kelompok bawahan sebelum ini seperti JDT II sudah menunjukkan peningkatan pada pusingan kedua. Kekalahan kepada UKM seharusnya membuka mata kami agar tidak mengambil mudah,” ujar Shahrom.

Mereka bakal berdepan UITM FC pada Selasa minggu depan yang menuntut pemain mengutamakan perlawanan itu berbanding berhari raya.

“Kami hanya diberi cuti sehari sahaja dan akan kembali menjalani latihan pada hari raya kedua. Jadi, saya minta rakan sepasukan korbankan hari raya tahun ini kerana kami mempunyai misi lebih besar untuk dilaksanakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here