Jawatankuasa terima lebih 30 usul ke Muktamar PAS

0
71



Jawatankuasa Usul PAS Pusat sehingga kini telah menerima lebih 30 usul daripada 194 kawasan Parlimen untuk dibawa pada Muktamar PAS Ke-63 yang akan bermula esok, kata Setiausaha Agung parti Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan sedang dalam proses merumus dan membahagikan usul tersebut mengikut kategori sebelum dibawa pada Mesyuarat Khas PAS Pusat pada Jumaat ini.

“Kesemua usul berkenaan akan dibahagi kepada empat kategori iaitu usul yang ditolak, usul yang diterima tanpa bahas, usul yang diterima dan perlu dibahaskan jawatankuasa dan usul yang diterima kemudian diserahkan kepada Majlis Syura Ulama untuk diputuskan,” katanya dalam sidang media di Alor Setar hari ini.

Seramai 1,231 perwakilan akan menghadiri muktamar bermula esok sehingga 1 Mei, di Alor Setar.

Mengenai agenda pemilihan yang akan menggunakan kaedah e-voting buat julung kalinya pada 29 April ini, beliau berkata kesemua keputusan hanya akan diumumkan pada 1 Mei agar ia tidak menganggu emosi calon-calon yang bertanding ketika muktamar sedang berlangsung.

Bagi jawatan naib presiden, katanya terdapat empat calon yang akan bertanding, manakala bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, sebanyak 26 calon menawarkan diri dan menurutnya kesemua calon berkenaan adalah mereka yang ‘satu kepala’ dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Amalan demokrasi dijamin di dalam PAS dan kita yakin pertandingan ini tidak akan menyebabkan apa-apa perpecahan dalam PAS sebagaimana yang diperkatakan,” katanya.

Takiyuddin berkata kaedah pemilihan secara e-voting diyakini selamat memandangkan perisian tersebut dihasilkan oleh Jabatan Teknologi Maklumat PAS sendiri, dan pemilihan hanya dikendalikan oleh jawatankuasa pemilihan.

“Pada tahun ini bagi semua jawatan yang dipertandingkan, tidak ada wakil calon kepada calon-calon, ini menunjukkan dalam kalangan pimpinan PAS tidak ada perasaan curiga mencurigai, berbanding sebelum ini Muktamar 2015 ada ejen pengiraan, ejen pengundian,” katanya.

PAS, katanya turut mengundang wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan beberapa parti sahabat PAS antaranya Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), BERJASA dan beberapa badan bukan kerajaan namun tidak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Hubungan kami dengan PPBM boleh kami sifatkan sebagai digantung sementara, kami tidak lagi mengadakan program dan rundingan bersama setelah mereka mengumumkan masuk ke Pakatan Harapan,” katanya.

Ditanya sama ada muktamar kali ini akan membincangkan mengenai kes disiplin anggota PAS, Takiyuddin berkata perkara itu hanya boleh diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan dan dianggotai oleh mereka yang tidak memegang jawatan dalam parti.

“Ada prosedur untuk seseorang anggota PAS boleh dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib, bukan melalui muktamar atau usul, sebab dalam perlembagaan PAS ada prosedur, maknanya sesuatu aduan terhadap seseorang perlu melalui banyak tahap,” katanya. –Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here