Jelajah Usahawan MITI dan agensi beri manfaat kepada usahawan, masyarakat – Chua

0
36

SEGAMAT: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berharap Jelajah Usahawan MITI dan Agensi 2017 yang diadakan di sini bakal memberikan manfaat kepada usahawan dan masyarakat dalam meningkatkan ekonomi.

Timbalan Menterinya Datuk Chua Tee Yong berkata program dua hari bermula semalam itu bukan sahaja membantu mempromosikan produk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) malah memberi pendedahan kepada usahawan dan masyarakat mengenai perkhidmatan yang disediakan MITI serta agensinya.

“Sebagai contoh, usaha menggunakan digital dalam bidang keusahawanan. Jadi, hari ini, salah satu peranan MITI dan agensi adalah memberi tahu mengenai inisiatif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan SME Corp yang menubuhkan laman portal untuk memberikan bimbingan kepada usahawan mengenai cara menggunakan laman sosial seperti web dan Facebook bagi mempromosi perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan jelajah tersebut di Dataran Labis, di sini, malam tadi.

Antara agensi yang terlibat dalam acara tersebut termasuklah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Institut Automotif Malaysia (MAI), SME Corp serta SME Bank.

Jelajah berkenaan merangkumi pelbagai pengisian termasuk pameran, jualan produk PKS setempat, pameran kerjaya, pemeriksaan kereta percuma, khidmat nasihat kewangan dan seminar usahawan oleh agensi di bawah MITI.

Chua yang juga anggota Parlimen Labis berkata menerusi tinjauan beliau, ramai dalam kalangan usahawan PKS yang menyertai jelajah tersebut tidak tahu mengenai sistem e-dagang yang menjadi pemangkin ekonomi.

Menurutnya, sekiranya para usahawan melaksanakan sistem itu, nilai industri e-dagang mampu ditingkatkan kepada RM211 bilion menjelang 2020 berbanding RM68 bilion pada 2015.

“Saya berharap jelajah ini yang sudah menarik kehadiran 4,000 pengunjung setakat malam tadi juga dapat mendedahkan masyarakat mengenai kesedaran jenayah kewangan menerusi sesi perkongsian maklumat dengan Bank Negara Malaysia seperti penipuan skim cepat kaya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Segamat Mohd Haffiz Ahmad dalam ucapannya berkata jelajah terbabit membawa MITI dan agensi di bawahnya dekat dengan masyarakat setempat sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan usahawan di kawasan Labis.

Beliau berkata jelajah seumpama itu merupakan penganjuran kali kedua diadakan di Johor selepas di Pontian pada 24 dan 25 Feb lepas.

–BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here