Jelius teruja beraksi di Piala Malaysia

0
328
Advertisement



KOTA KINABALU: Pengendali Sabah, Jelius Ating menyifatkan kejayaan skuad kendaliannya layak beraksi dalam kempen Piala Malaysia adalah pencapaian yang membanggakan.

Selepas kali terakhir beraksi dalam saingan berprestij itu pada tahun 2011, skuad yang terkenal dengan julukan Sabah Rhinos itu mengesahkan tempat selepas menumbangkan Felcra FC 3-0 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

“Sudah begitu lama kita tidak layak beraksi di Piala Malaysia dan tahun ini kita kembali selepas hampir tujuh tahun, ia pencapaian yang cukup membanggakan bukan saja kepada pasukan, malah saya percaya penyokong kita juga merindukan aksi Piala Malaysia,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Jelius berkata, banyak pencapaian yang boleh dibanggakan pasukan musim ini kerana selain layak ke Piala Malaysia, dua pemain Sabah Rhinos juga dipilih sebagai pemain terbaik bulanan.

“Selain itu, beberapa pemain kita dipanggil menyertai pasukan kebangsaan dan semua pencapaian ini sangat bermakna selepas terumbang ambing sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Mengulas perlawanan malam tadi, Jelius berkata, dia kagum dengan persembahan dipamerkan anak buahnya dan menganggap ia antara aksi terbaik mereka musim ini.

“Saya berterima kasih kepada semua pemain, saya sangat kagum dengan usaha dan prestasi mereka, bagi saya ia bukan sesuatu yang baharu kerana kalau kita tengok inilah prestasi yang kita mahu dan saya percaya mereka masih boleh melakukan lebih daripada itu.

“Kita sentiasa cuba memperbaiki setiap kelemahan termasuk membawa pemain menonton semula rakaman video perlawanan, ternyata prestasi mereka terus meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya.

Pada aksi malam tadi, dua jaringan Hector Omar Ramos serta satu daripada Maxsius Musa membantu Sabah mencatat kemenangan selesa 3-0, sekali gus penentuan merebut satu lagi slot ke Liga Super terpaksa ditentukan pada aksi terakhir liga, Jumaat ini.

Hanya tinggal tiga pasukan termasuk Sabah yang masih berpeluang merebut slot berkenaan, namun laluan Sabah bukan mudah kerana selain perlu memenangi aksi terakhir bertemu PDRM, mereka juga mengharapkan FELCRA FC serta MISC-MIFA kecundang kepada lawan masing-masing.

Berdasarkan kemenangan malam tadi, Sabah naik semula ke kedudukan keempat liga dengan 28 mata, tiga mata di belakang FELCRA FC yang kini di kedudukan kedua dan satu mata di belakang MISC-MIFA di tangga ketiga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here