Jimmy Carter pulih daripada masalah dehidrasi

0
33


JIMMY Carter dilaporkan sudah pulih sepenuhnya daripada masalah dehidrasi yang dialaminya ketika membantu membina sebuah rumah dalam satu program kebajikan di Kanada.- Foto Reuters

WINNIPEG, Manitoba: Bekas Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter dilaporkan sudah pulih sepenuhnya daripada masalah dehidrasi yang dialaminya ketika membantu membina sebuah rumah dalam satu program kebajikan di Kanada.

Carter, 92, dibenarkan keluar daripada Hospital Umum St Boniface, semalam selepas dirawat di hospital itu selama satu malam, bagi menjalani pelbagai ujian serta rawatan.

Malah, beliau sempat menyampaikan ucapan pada majlis penutup projek terbabit, selepas keluar dari hospital berkenaan.

Menurut laporan, Carter dipercayai rebah sebelum jatuh pengsan ketika berada di lokasi tapak pembinaan Habitat for Humanity di Winnipeg, bagi mempromosikan pemilikan rumah mampu milik.

Bagaimanapun, menjelang pagi Jumaat, Carter dan isterinya, Rosalynn Carter, 89, dilihat berada di tapak pembinaan bagi melancarkan projek berkenaan.

Beberapa jam kemudian, beliau dan Rosalynn turut menghadiri majlis penutup di Muzium Hak Asasi Manusia Kanada di sini, sambil disambut dengan tepukan gemuruh daripada orang ramai.

Carter berada di Kanada bagi merasmikan projek pembinaan 150 rumah bagi golongan kurang berkemampuan, selain meraikan sambutan ulang tahun ke-150 kemerdekaan negara. – Reuters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here