Jokowi keluar dekri bubar kumpulan radikal

0
45


JOKOWI.- Foto AFP

JAKARTA: Indonesia mengeluarkan satu dekri membolehkannya mengharamkan kumpulan yang menentang ideologi negara.

Tindakan itu dilihat disasarkan kepada golongan radikal Islam di negara majoriti Muslim dunia itu.

Undang-undang itu, ditandatangani Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo Isnin lalu, ketika kebimbangan pengaruh golongan tegar di Indonesia, yang mana majoriti penduduknya mengamalkan ajaran Islam sederhana.

Ia memberi kuasa kepada kerajaan membubar tanpa membicarakan mana-mana kumpulan yang mencabar Pancasila, prinsip asas nasional yang mempromosi masyarakat majmuk dan toleransi.

Pancasila dianggap faktor penyatu untuk sebuah negara yang memiliki masyarakat minoriti beragama Kristian, Hindu dan Buddha.

Menteri Keselamatan, Wiranto, berkata semalam, tindakan itu diambil kerana sesetengah kumpulan ‘mengancam kewujudan negara dan mencetuskan konflik dalam masyarakat.’

Beliau berkata dekri itu bagaimanapun tidak menamakan organisasi khusus yang disasarkan.

Namun aktivis berkata, tindakan itu menyasar untuk membubarkan Hizb ut-Tahrir Indonesia (HTI), cawangan tempatan kumpulan radikal Islam yang mahu menyatukan semua penduduk Islam di bawah satu khalifah.

Mei lalu, kerajaan berkata, ia mahu mengambil langkah perundangan membubarkan kumpulan terbabit.

“Dekri itu hanyalah satu jalan pintas membubarkan HTI kerana jika mereka menggunakan undang-undang lama NGO (pertubuhan bukan kerajaan), ia akan mengambil masa yang lama,” kata pakar perundangan Bivitri Susanti. -AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here