Joo Ngan minta Khairy bantu masalah YAKEB

0
67



Kuala Lumpur: Legenda berbasikal negara Datuk Ng Joo Ngan (gambar) meminta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar campur tangan dalam menyelesaikan masalah kewangan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Menurutnya, berikutan masalah kewangan yang dihadapi susulan belum menerima dana kira-kira RM2 juta daripada Jabatan Perdana Menteri, YAKEB gagal meneruskan misi mereka dalam membela dan menjaga kebajikan bekas atlet.

“Sebenarnya saya tidak terkesan tapi suara saya ini lebih kepada rintihan sebahagian besar bekas atlet yang tidak berkemampuan dan tidak mempunyai sumber kewangan.

“Ini kerana saya difahamkan sejak tiga bulan lalu, ramai bekas atlet yang merintih kerana tidak lagi boleh menggunakan Guarantee Letter (GL) sekali gus menyebabkan mereka berdepan kesukaran untuk meneruskan rawatan di hospital kerana memerlukan kos tinggi,” kata Joo Ngan semalam.

Menurut Joo Ngan, selama ini YAKEB menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang apabila ramai bekas atlet negara yang dibantu yayasan itu hasil kesungguhan mereka dalam mencari dana termasuk daripada JPM.

“Andai masalah ini tidak diselesaikan secepat mungkin, saya khuatir ia akan menyebabkan ramai bekas atlet yang menderita sebab kebanyakan bekas atlet negara tidak mempunyai pendapatan dan tiada pencen,” katanya.

Difahamkan, YAKEB sudah menghantar surat pemberitahuan kepada setiap ahlinya mengenai sekatan sementara kos rawatan kerana tidak mampu menampung pembayaran skim insurans sejak tiga bulan lalu.

Selain pembiayaan skim insurans, YAKEB turut membela nasib bekas atlet menerusi pemberian sumbangan kepada mereka yang memerlukan untuk meringankan beban kewangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here