Jumlah akauntan bumiputera dijangka meningkat hingga 30 peratus menjelang 2030

0
67
Advertisement

SHAH ALAM: Jumlah akauntan bertauliah bumiputera dijangka meningkat 20 hingga 30 peratus menjelang 2030 menerusi sokongan Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC), kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata MyPAC yang melahirkan 110 akauntan bertauliah bumiputera sejak ditubuhkan tiga tahun lalu, dilihat mampu menjadi pengubah permainan dalam usaha tersebut.

Setakat ini jumlah akauntan bertauliah bumiputera hanya sekitar 1,800 orang atau lapan peratus daripada jumlah keseluruhan namun usana MyPAC yang giat turun padang bagi memberi kesedaran tentang pentingnya bidang itu boleh menarik minat bumiputera, katanya.

Beliau yang ditemui pemberita selepas Majlis Penghargaan Anugerah MyPAC di sini pada Isnin, berkata pada masa ini MyPAC mempunyai 2,000 pelajar.

“Sebenarnya di MyPAC, pelajar bukan saja diajar dan diberi motivasi tetapi mereka diberi inspirasi termasuk pendedahan yang cukup dalam penguasaan bahasa Inggeris iaitu antara kelemahan kaum bumiputera, bagi meningkatkan keyakinan diri, ” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyPAC Datuk Zaiton Mohd Hassan berkata jumlah akauntan bertauliah bumiputera yang sedikit disebabkan golongan berkenaan kurang kesedaran dan tidak yakin dengan kemampuan diri untuk lulus peperiksaan bagi mendapatkan sijil kelayakan profesional Persatuan Akauntan Bertauliah atau ACCA.

“Memang diakui, peperiksaan ACCA agak sukar untuk lulus kerana ia bertaraf antarabangsa namun ramai pelajar bumiputera sudah buktikan yang mereka mampu lulus malah ada yang cemerlang. Rata-rata graduan MyPAC baru sahaja dapat keputusan peperiksaan, sudah ditawarkan bekerja,” katanya.

Zaiton berkata bagi menambah bilangan akauntan bertauliah bumiputera, pihaknya membawa pakar daripada BPP Professional Education, United Kingdom untuk melatih pensyarah MyPAC dan seterusnya melahirkan lebih ramai graduan yang cemerlang.

Pada majlis tersebut, 60 pelajar diraikan atas kejayaan mendapatkan sijil ACCA termasuk dua pelajar MyPAC yang mencipta keputusan peperiksaan paling cemerlang di dunia bagi subjek tertentu.

Mereka ialah Wan Nor Mafudah Wan Yusoff, 21, yang meraih tempat pertama di dunia bagi subjek ‘Financial Reporting’ ACCA serta Siti Nadiah Sh Salleh, 19, yang mendapat markah 100 peratus bagi subjek akaun oleh Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).

MyPac ditubuhkan pada 2015 sebagai inisiatif kerajaan untuk menambah bilangan akauntan bumiputera profesional yang berkelayakan dengan memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan pembinaan kapasiti bumiputera melalui pendidikan akademik dan vokasional selaras dengan wawasan negara untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here