Kadar kelahiran dijangka terus merosot menjelang 2020

0
12



Kuala Lumpur: Trend terkini mengehadkan jumlah anak dan mahu menikmati kehidupan rumah tangga tanpa zuriat menyebabkan ramai pasangan berkahwin menghadapi masalah mendapatkan cahaya mata apabila usia menjangkau 30 tahun.

Malah, trend suka mengikut perkembangan artis atau individu di laman sosial yang tidak mahukan anak atau menangguh dahulu memiliki cahaya mata turut menyebabkan kadar kesuburan di negara ini semakin menurun.

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Mariam Mas Yacob berkata, setakat ini pihaknya menerima kes baru sebanyak 5,765 untuk tempoh 2012 hingga 2017 berkaitan masalah pasangan mendapatkan zuriat.

Beliau berkata, kes ulangan pula merekodkan sebanyak 37,930 kes dan daripada jumlah terbabit 3,186 sudah menjalani rawatan subfertiliti manakala seramai 625 atau 20 peratus sudah berjaya hamil.

“Di negara ini, masalah kadar subfertiliti atau pasangan menghadapi masalah untuk mendapatkan anak adalah pada sekitar 10 hingga 15 peratus dan dijangka meningkat disebabkan faktor berkenaan.

“Namun, LPPKN berusaha meningkatkan kadar kelahiran menerusi beberapa kaedah serta rawatan tertentu kepada pasangan dan setakat ini 4,000 kehamilan sudah berjaya direkodkan,” katanya dalam sidang media, selepas merasmikan Majlis Jalinan Kasih Memenuhi Harapan, di sini, semalam.

Hadir sama, pada majlis itu, Ketua Pengarah LPPKN Datuk Dr Siti Norlasiah Ismail.

Sementara itu, Dr Siti Norlasiah berkata, pihaknya juga berusaha menjadikan masalah subfertiliti sebagai senarai penyakit yang boleh menerima rawatan dan dibiayai majikan.

“Beberapa negara maju seperti Jerman, United Kingdom, Australia dan Singapura menyenaraikan kos rawatan subfertiliti ke dalam senarai jenis rawatan yang ditanggung oleh panel kesihatan majikan.

“Setakat ini, di negara ini tiada majikan yang berbuat demikian malah hanya ada satu saja syarikat insurans yang sanggup menanggung rawatan penyakit terbabit kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, kadar kelahiran di negara ini akan merosot daripada 6.7 pada 1957 kepada 2.0 untuk 2015 bagi setiap pasangan dan ianya kemungkinan terus menurun kepada 1.91 pada 2020.

SHARE
Previous articleBetis bertatu
Next articleGembira tak terucap

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here