'Kalau lepas'… Alisson milik Reds

0
191
Advertisement



PENJAGA gol AS Roma, Alisson Becker menjalani ujian perubatan di Liverpool berikutan ‘tawaran luar biasa’ yang diterima kelab Itali itu, kata Pengarah Sukan, Monchi, hari ini.

Media British melaporkan Liverpool sudah bersetuju dengan tawaran 75 juta euro (RM354.76 juta) bagi pemain berusia 25 tahun itu, sekali gus memecah rekod pembelian termahal dunia bagi penjaga gol.

Rekod sebelum ini dipegang oleh Juventus yang membayar 53 juta euro (RM250.70 juta) kepada Parma untuk mendapatkan legenda Itali, Gianluigi Buffon pada 2001.

“Pemain berkenaan menjalani ujian perubatan, dan jika dia melepasinya, perjanjian itu boleh diteruskan,” kata Monchi.

“Ia sukar apabila kamu adalah Pengarah Sukan. Kami menerima tawaran yang luar biasa untuk Alisson dan kami menilainya.

“Pada akhirnya, kami mengambil keputusan dan bercakap dengan Liverpool dan kami mencapai persetujuan. Ia tidak bermaksud kami tidak bercita-cita tinggi.

“Kami hanya menjual dua pemain dan kami menandatangani lagi 10 pemain, dan kami akan terus mencari pemain-pemain lain.”

Alisson mengharungi 17 perlawanan tanpa bolos dalam kempen Serie A musim lalu dan membantu Roma mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara sebelum disingkirkan Liverpool.

Dia disenarai dalam kelima-lima perlawanan Brazil di Piala Dunia Russia sebelum mereka disingkirkan Belgium di suku akhir.

Posisi penjaga gol jelas menjadi masalah yang memeningkan kepala pengurus Liverpool, Juergen Klopp dengan kedua-dua pemainnya, Loris Karius dan Simon Mignolet gagal membuktikan kemampuan sebenar mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here