Kali pertama berjaya

0
13



Seoul: Korea Utara semalam berkata, ia buat pertama kalinya berjaya melancar ujian peluru balistik rentas benua (ICBM) yang menurut pakar boleh menjejaki negeri Alaska, Amerika Syarikat.

Ujian itu dilancarkan beberapa hari sebelum negara Kumpulan 20 berbincang mengenai langkah mengekang program senjata Korea Utara.

Pelancaran itu yang menurut media Korea Utara diarah dan diselenggara oleh pemimpinnya, Kim Jong Un menyaksikan peluru berpandu itu bergerak sejauh 933 kilometer dan mencapai ketinggian 2,802 kilometer dengan masa penerbangan selama 39 minit.

Negara itu sebelum ini menyuarakan hasratnya untuk membangunkan peluru berpandu yang dilengkapi peledak nuklear serta mampu menjejaki tanah besar Amerika Syarikat.

Untuk mencapai impiannya, ia memerlukan ICBM dengan jarak 8,000 kilometer atau lebih, peledak kecil yang cukup untuk dipasang padanya serta teknologi bagi memastikan senjata itu stabil ketika memasuki semula atmosfera.

Beberapa penganalisis berkata, butir penerbangan semalam menunjukkan misil baru itu berkemampuan terbang sejauh lebih 8,000 kilometer. Bagaimanapun, ada penganalisis lain percaya, jaraknya tidak jauh.

Pegawai Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat berkata, peluru berpandu itu jatuh di Zon Ekonomi Eksklusif Jepun selepas dilancarkan dari kawasan tinggi berhampiran landasan kapal terbang di barat laut Pyongyang.

“Ujian itu dilakukan dengan sudut paling tirus yang mungkin dan ia tidak mempunyai kesan negatif kepada negara jiran,” menurut kenyataan media milik kerajaan Korea Utara.

Pyongyang berkata, peluru berpandunya kini mampu menjejaki sasaran di seluruh dunia.

“Ujian itu kelihatan berjaya. Sekiranya dilancarkan pada sudut standard, misil itu boleh menjejaki sasaran sejauh 8,000 kilometer,” kata Kom Dong-yub, pakar ketenteraan di Universiti Kyungnam di Seoul.

Mengulas mengenai ujian terbaru itu, Presiden Donald Trump menulis di Twitter: “Korea Utara baru melancarkan satu lagi misil. Adakah dia (Kim Jong-Un) tidak ada kerja lain yang lebih berfaedah untuk dilakukannya.”

Sementara itu, di Beijing, jurucakap kementerian luar China, Geng Shuang menggesa masyarakat antarabangsa bertenang dan mengulangi bantahan negaranya ke atas Korea Utara yang mencabul ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkait dengan ujian nuklear.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here