Kamal ganti Amrin

0
15



Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima), kumpulan media bersepadu terbesar negara mengumumkan pelantikan Datuk Kamal Khalid sebagai Pengarah Urusan Kumpulan yang baru menggantikan Datuk Seri Amrin Awaluddin berkuat kuasa 2 Ogos ini.

Beliau kini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima (RTMP) dan berkhidmat bersama kumpulan itu sejak 2009 dan memainkan peranan penting dalam perubahan serta pengembangan inisiatif digital perniagaan RTMP.

Sebelum menyertai Media Prima, Kamal yang berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Nottingham, United Kingdom pernah berkhidmat sebagai Ketua Unit Komunikasi di Jabatan Perdana Menteri bermula 2003 hingga 2009.

“Kamal juga pernah menimba pengalaman dalam industri perbankan dan pembiayaan ekuiti persendirian ketika berkhidmat dalam sektor perkhidmatan kewangan selama tiga tahun di Bahagian Dasar dan Pembangunan Bursa Malaysia,” kata Media Prima dalam satu kenyataan, semalam

Pada masa sama, Media Prima juga mengumumkan pelantikan Farnida Ngah sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan yang baru berkuat kuasa 2 Ogos ini menggantikan Mohamed Ariff Ibrahim yang menamatkan perkhidmatannya pada 1 Ogos.

Farnida kini adalah Pengurus Besar Kumpulan, Kewangan Kumpulan dan Kesetiausahawanan yang menyelia fungsi kewangan kumpulan, perbendaharaan, kewangan korporat dan kesetiausahawanan syarikat.

Sebelum berkhidmat dengan Media Prima sejak 2006, lulusan Sarjana Muda Perdagangan pengkhususan bidang Perakaunan dan Kewangan dari Universiti Flinders, Australia pernah berkhidmat dengan firma PricewaterhouseCoopers (PwC) dan KPMG serta memiliki pengalaman lebih 18 tahun dalam bidang perakaunan, kewangan, penjaminan perniagaan dan khidmat nasihat korporat.

Media Prima juga mengumumkan Amrin kekal sebagai Ahli Lembaga Pengarah Media Prima sebagai Pengarah Eksekutif bagi membantu proses peralihan kepimpinan kumpulan dan Mohamad Ariff juga kekal sebagai Pengarah di Pejabat Pengarah Urusan Kumpulan hingga 31 Disember 2017 bagi membantu pengurusan kanan kumpulan dalam pelaksanaan inisiatif transformasi perniagaan Odyssey 2.0.

Amrin berkata, keputusannya menamatkan perkhidmatan bersama kumpulan satu perkara sukar, namun percaya ia dilakukan pada masa sesuai bagi memberi peluang kepada kepimpinan baru memacu inisiatif transformasi perniagaan Media Prima.

Amrin dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan sejak 2009 selain pernah menyandang beberapa jawatan penting termasuk sebagai Ketua Pegawai Kewangan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB) pada 2001, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Media Prima (2003), Ketua Pegawai Eksekutif Natseven TV Sdn Bhd (2006) dan Ketua Pegawai Eksekutif STMB (Januari 2008).

Menurut Media Prima, Kamal mempunyai kepakaran dan ciri-ciri kepimpinan diperlukan bagi memacu kumpulan ke hadapan selaras dengan pelan transformasi yang dirancang dan menjangkakan peralihan tugas yang lancar memandangkan pengetahuan komprehensifnya dalam industri media.

“Pelantikan Farnida juga tepat kerana langkah itu akan memberi kesinambungan kepada strategi kewangan utama serta inisiatif pengoptimuman kos sedia ada,” katanya.

SHARE
Previous articleIkrar Mazlan
Next articleSabar dua tahun

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here