'Kami akan lindungi pemain 100 peratus…'

0
186
Advertisement



PERSATUAN Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) memberi jaminan akan menyediakan tahap keselamatan yang maksimum terhadap skuad bawah 23 (B-23) tahun negara di Sukan Asia Jakarta-Palembang, bulan depan.

Jaminan itu dinyatakan Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Destria sambil menjelaskan kawalan ketat bukan sahaja untuk skuad Harimau Malaya tetapi juga buat semua pasukan yang bertanding pada temasya berkenaan.

“Banyak sejarah (insiden penyokong) berkenaan (pasukan bola sepak) Indonesia dan Malaysia, sudah pasti kami akan melindungi pemain 100 peratus.

“Pada Piala AFF Suzuki 2010, kami menyediakan kawalan ketat yang membabitkan polis dan tentera, jadi kami akan lakukan perkara sama pada Sukan Asia nanti.

“Kami akan melihat dari pelbagai sudut dalam memastikan kawalan keselamatan terbaik dapat dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), di sini, hari ini.

Kebimbangan mengenai kelakuan ganas penyokong Indonesia tercetus selepas skuad bawah 19 (B-19) tahun negara didakwa di baling objek ketika mahu memasuki bilik persalinan selepas aksi separuh akhir kejohanan AFF B-19 di Surabaya pada 12 Julai lalu.

Sukan NSTP semalam turut melaporkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi meminta PSSI memberi jaminan keselamatan terbaik buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee. 

Selain itu, Ratu turut mengakui sukar untuk pihaknya mengawal emosi penyokong yang sudah lama dahagakan kejayaan dalam arena bola sepak negara itu. 

“Ia bukan saja mengenai (aksi) Indonesia dan Malaysia saja, Indonesia berdepan konflik yang lama dalam bola sepak termasuk penggantungan daripada FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).

“Walaupun hanya aksi pemain muda, mereka (penyokong) sangat dahagakan kemenangan, dan ia bukan sahaja apabila berdepan Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here