Kami aminkan saja – Amylea

0
608
Advertisement



MESKIPUN hanya menyanyikan runut bunyi drama Nur berjudul Tak Pernah Hilang, penyanyi dan komposer Amylea Azizan tumpang bangga dengan kejayaan luar biasa naskhah arahan Shahrulezad Mohameddin itu.

Amylea, 31, mengakui, dia dan rakan duetnya untuk lagu terbabit iaitu Kaer Azami tidak pernah meletakkan harapan tinggi pun terhadap penerimaannya terutama lagu itu sendiri.

“Disebabkan fenomena drama itu, kami dihujani dengan pelbagai pujian untuk lagu itu. Bahkan ada yang doakan lagu itu dapat bertanding di AJL (Anugerah Juara Lagu) dan sebenarnya ia sudah menjadi satu pencapaian membanggakan.

“Tidak ramai tahu lagu itu memang dibuat khas untuk Nur di mana kami terbabit daripada awal lagi sebelum pelakonnya dipilih dan penggambaran dimulakan. Saya sendiri membaca habis skrip Nur demi mendapatkan lirik yang sempurna bagi menggambarkan jalan ceritanya,” katanya.

Menurut Amylea, dia tidak menafikan berharap supaya lagu berkenaan bakal pergi jauh sehingga bertanding di AJL.

“Saya aminkan saja doa daripada peminat. Dapat diterima baik dan dimainkan di stesen radio pun sebenarnya sudah memadai. Apapun, saya berharap peminat akan terus menyokong agar lagu itu mampu ke AJL,” katanya.

Sejak video muzik Tak Pernah Hilang dimuat naik di YouTube pada 17 April lalu, ia berjaya meraih lebih 1.3 juta tontonan dan menerima lebih 21,000 ‘likes’.

Drama Nur terbitan Radius One Sdn Bhd menampilkan gandingan pelakon hebat Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Riena Diana, Datuk Jalaludin Hassan, Fatimah Abu Bakar, Noorkhiriah dan Azhan Rani.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here