'Kami lebih bersedia'

0
128
Advertisement



SOCHI: Pemain tengah Brazil, Paulinho percaya dia serta rakan sepasukannya melakukan persiapan lebih baik menjelang saingan Piala Dunia di Russia berbanding ketika menjadi tuan rumah, empat tahun lalu.

Paulinho, 29, adalah antara seorang pemain di bawah bimbingan Luiz Felipe Scolari pada 2014 yang menyaksikan mereka dimalukan oleh Jerman, selepas dibelasah 1-7 pada aksi separuh akhir.

Dia masuk sebagai pemain gantian pada perlawanan berkenaan dan kekal antara empat pemain yang mengalami mimpi ngeri itu yang masih kekal beraksi di Russia bagi edisi kali ini. 

Brazil akan memulakan saingan bertemu Switzerland pada Ahad ini, selepas hanya tewas sekali dalam 21 perlawanan sejak dua tahun lalu. 

“Kami kini mempunyai tahap keyakinan lebih baik. Berdasarkan perkembangan semasa Brazil ketika ini, jelas sekali setiap pemain sudah cukup bersedia,” kata pemain tengah Barcelona itu ketika ditemui pada sesi latihan.

“Brazil lebih bersedia kali ini. Inilah bola sepak dan dalam tempoh empat tahun banyak yang kami pelajari.

 “Apa yang kami lakukan sejak empat tahun lalu sudah dilupakan. Kini kami mempunyai satu lagi peluang dan saya mahu meraih keputusan lebih baik,” katanya.

Sejak 2014, bekas pemain tengah Tottenham Hotspur itu beraksi di China sebelum berhijrah ke Barcelona pada tahun lalu.

Keputusannya itu agak mengejutkan ramai, namun Paulinho melalui musim cemerlang di Barcelona yang meraih dua kejuaraan domestik. – AFP

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here