Kami mahu dilabel 'Singa' yang tewas

0
140
Advertisement



NIZHNY NOVGOROD, Russia: Kapten Uruguay, Diego Godin menggelarkan rakan sepasukannya sebagai ‘singa’ meskipun kalah 0-2 kepada Perancis di peringkat suku akhir Piala Dunia, di sini, sebentar tadi.

Malah katanya, kesilapan penjaga gol Fernando Muslera yang membawa kepada gol kedua Perancis seharusnya dimaafkan.

“Saya bangga dengan rakan sepasukan saya, mereka adalah singa,” kata Godin yang turut keluar dari padang bersama pemain Uruguay dengan linangan air mata.

“Kami adalah pasukan di mana semua memberikan segala-galanya pada perlawanan dan juga persiapan. Apa yang boleh saya katakan ialah pujian terhadap rakan sepasukan saya.”

Perancis memperoleh gol pertama menerusi tandukan kilas Raphael Varane pada babak pertama, sebelum Muslera melakukan kesilapan yang memberikan Antoine Griezmann menambah kelebihan pada separuh masa kedua.

Griezmann yang juga rakan sepasukan Godin di Atletico Madrid melakukan rembatan dari luar kotak penalti tepat ke arah Muslera tetapi dia bertindak menampan bola menyaksikan ia kemudian terlepas ke gawangnya.

“Fernando adalah penjaga gol yang hebat… Kami semua melakukan kesilapan,” kata Godin.

“Pada masa yang lain, dia menyelamatkan kami dengan aksi menyelamat hebat.”

Uruguay tampak bergelut selepas kehilangan penyerang berbisa, Edinson Cavani yang terpaksa disisihkan susulan kecederaan betis.

Di sebalik kekalahan, peminat Uruguay tampil dengan sikap terpuji apabila terus memberikan sokongan terhadap pasukan mereka di Stadium Nizhny Novgorod, di sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here