Kami mahu globalisasikan e-dagang, bukan platform kami – Jack Ma

0
29

SEPANG: Matlamat utama Alibaba Group ialah untuk memperkasa perniagaan kecil dan membawa mereka ke tahap lebih tinggi, dengan itu mewujudkan persekitaran mampan untuk mereka berkembang.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif, Jack Ma berkata, kumpulan itu tidak mempunyai rancangan untuk mengglobalisasi jenamanya, tetapi sasaran tunggalnya adalah untuk membuka pintu dunia kepada e-dagang melalui Internet.

“Itulah perbezaan antara kami dengan platform digital lain. Kami tidak bertujuan mengglobalisasi Alibaba, tetapi apa yang kami mahu ialah memperkasa dan mengglobalisasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Selepas pelancaran fasa pertama Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) di sini hari ini, Ma berkata, matlamat seterusnya adalah untuk membawa pengkomputeran awan kepada PKS bagi memastikan mereka beroperasi dengan sistem terkini.

Beliau berharap, kumpulan itu dapat bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi mengajar penuntut bagaimana untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian.

“Tidak ada sesiapa perlu takut untuk meneroka sektor e-dagang. Gunakan platform itu dan bagi golongan muda, ia adalah kelebihan untuk mereka kerana mereka dilahirkan dalam era teknologi,” katanya.

Ma berkata, kewujudan DFTZ akan meningkatkan peluang kepada PKS untuk menembusi bukan sahaja pasaran China, tetapi juga Rusia, Eropah dan Timur Tengah.

“Tidak lama lagi semua perniagaan perlu diglobalisasi jika mereka mahu terus mampan kerana dunia kini bergerak ke arah e-dagang,” katanya.

Ma berkata, modul DFTZ boleh ditiru di tempat lain dan dalam tempoh lima tahun akan datang, negara lain akan mempunyai modul yang sama yang akan memanfaatkan bukan sahaja penggiat ekonomi utama, tetapi juga PKS.

“Dengan memampankan perniagaan kecil, kita boleh meneruskannya untuk tempoh lebih panjang, tetapi dengan syarikat besar, kita hanya boleh mampan untuk tempoh pendek, contohnya lima tahun,” katanya.

Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ma melancarkan DFTZ Malaysia dengan penyertaan lebih 1,972 PKS sedia eksport.

DFTZ pertama di dunia itu adalah komponen penting dalam memacu ekonomi digital Malaysia, memudahkan PKS memanfaatkan penumpuan pertumbuhan eksponen ekonomi Internet dan perdagangan rentas sempadan.

DFTZ akan meningkatkan eksport PKS kepada US$38 bilion (US$1=RM4.23), mewujudkan lebih 60,000 pekerjaan dan membantu US$65 bilion barangan bergerak melalui DFTZ menjelang 2025.

Ia juga akan menjadikan Malaysia hab pemunggahan terkemuka Asia pada 2025.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here