Kane optimis kekal cergas

0
335
Advertisement



London: Kapten England, Harry Kane yakin dia boleh kembali cergas selepas mengharungi kempen Piala Dunia yang memenatkan untuk beraksi bersama Tottenham Hotspur pada perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang Newcastle United, 11 Ogos depan.

Selepas 48 penampilan dalam semua pertandingan untuk Tottenham musim lalu, penyerang berusia 24 tahun itu meneruskan sentuhannya di Piala Dunia dengan menyumbat enam gol untuk membawa England hingga ke separuh akhir dan menerima anugerah Kasut Emas.

Kane kembali semula ke tanah air bersama rakan sepasukannya kelmarin dan percaya akan kembali fokus bersama Spurs meskipun hanya kurang sebulan sebelum aksi Liga Perdana bermula.

“Saya mahu bermain semula dalam tempoh empat minggu akan datang,” kata Kane. “Kami akan mengadakan perbincangan bersama pengurus (Mauricio Pochettino) di Spurs. Kami akan berehat beberapa minggu dulu.

“Apa yang paling penting adalah mental kena bersedia. Bukan kami langsung tidak berbuat apa-apa dalam tempoh cuti dua minggu. Kami akan lakukan mengikut cara kami sendiri.

“Dari aspek fizikal, badan anda akan membawa anda ke tahap yang anda tidak terfikir. Semuanya adalah kerana mental. Kami berlatih hampir sepanjang tahun dengan musim akan bermula tidak lama lagi, jadi ia pasti mencabar namun itu yang perlu kami hadapi.”

Kane penjaring terbanyak Liga Perdana dalam dua daripada tiga musim lalu sudah meletakkan sasaran apabila kembali beraksi.

“Saya berharap akan kembali beraksi semula pada perlawanan pertama dan cuba untuk menjaringkan gol bulan depan.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here