Kapal perang AS cetus provokasi dengan China

0
28


KAPAL USS Stethem. – Foto Reuters

WASHINGTON : Sebuah kapal perang Amerika Syarikat (AS) dilihat belayar berhampiran pulau di Laut China Selatan milik Beijing hari ini, satu tindakan provokasi yang boleh mengeruhkan hubungan antara dua kuasa besar itu.

Kapal USS Stethem itu berada pada jarak kurang daripada 22 kilometer (12 batu nautika) dari Pulau Triton di gugusan Kepulauan Paracel yang turut menjadi perebutan antara Taiwan dan Vietnam.

Operasi itu yang memfokus kepada demonstrasi kebebasan di perairan rebutan dilaksanakan beberapa jam sebelum perbualan telefon antara Presiden Donald Trump dan rakan sejawatnya, Presiden Xi Jinping dari China.

China sehingga kini tidak memberikan sebarang maklum balas. Ini adalah kali kedua operasi seumpamanya dilaksanakan oleh AS sejak Trump mengambil alih pemerintahan dan mengeruhkan hubungan antara kedua negara menerusi beberapa tindakan lain.

Trump pada Khamis lalu meluluskan penjualan senjata api bernilai AS$1.3 bilion (RM5.58 bilion) kepada Taiwan yang dianggap sebagai wilayah pemberontak oleh China.

Pada hari yang sama, Jabatan Perbendaharaan AS melancarkan sekatan ke atas bank China kerana didakwa melakukan pengubahan wang tunai milik kerajaan Korea Utara.

Jabatan Negara AS juga pada hari yang sama, melahirkan keprihatinan mereka terhadap reaksi Beijing berhubung kebebasan di Hong Kong sempena sambutan ulang tahun ke-20 penyerahan semula wilayah itu oleh kerajaan British. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here