Karnival Kewangan BNM bakal temui masyarakat pantai timur

0
105
Advertisement

ALOR SETAR: Karnival Kewangan kelima anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) bakal menemui masyarakat Pantai Timur selepas kejayaan yang dicatat bank pusat tersebut di karnival (keempat) di Kedah, kata Timbalan Gabenor Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.

Menurutnya karnival tiga hari itu, yang diadakan di Wilayah Utara Semenanjung, berjaya menarik 25,000 pengunjung, melebihi sasaran awal sebanyak 20,000.

“Jumlah pengunjung dijangka meningkat lagi memandangkan hari ini merupakan hari cuti umum sempena Hari Keputeraaan Sultan Kedah.

“Karnival ini yang menghimpunkan pelbagai penyertaan di bawah satu bumbung, terdiri daripada institusi kewangan, persatuan-persatuan institusi kewangan, agensi kerajaan serta institusi berkaitan, yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan serta khidmat nasihat kepada orang ramai,” katanya dalam ucapan penutupan karnival itu di sini pada Ahad.

Abdul Rasheed berkata karnival itu telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, terutama golongan B40, yang datang bukan sahaja dari Kedah, malah dari kawasan lain termasuk Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

Menurutnya pendidikan kewangan merupakan unsur yang penting dalam meningkatkan kadar celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Dengan peningkatan pengetahuan mengenai hal kewangan, pengguna dapat mengurus kewangan dan merancang masa depan mereka dengan lebih baik.

“Justeru, karnival kewangan ini merupakan satu usaha bersepadu yang dirancang untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam segenap lapisan masyarakat, bermula daripada kanak-kanak sehingga ke peringkat dewasa,” katanya.

Karnival tersebut dijadikan sebagai platform bagi BNM untuk berinteraksi dengan para pengunjung untuk mendalami aspirasi rakyat Malaysia berkenaan peranan sektor kewangan 30 tahun akan datang.

Aspirasi yang dikumpulkan akan diterjemahkan dalam menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50). Karnival ini menerima 1,050 aspirasi daripada para pengunjung, yang secara amnya tertumpu kepada tiga aspek utama, katanya.

“Antaranya, mereka berharap menjelang 2050, transaksi kewangan akan dibuat tanpa tunai dan tahap celik kewangan dalam kalangan warga Malaysia akan meningkat ke tahap yang tinggi.

“Para pengunjung juga mahu institusi kewangan menawarkan produk yang sesuai untuk meningkatkan simpanan persaraan mereka,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here