Kasper Schmeichel kekal di Leicester

0
49
Advertisement



PENGENDALI Leicester, Claude Puel mengesahkan tidak menerima sebarang tawaran untuk mendapatkan khidmat penjaga golnya, Kasper Schmeichel.

Sky Sports News dalam laporannya mendakwa Chelsea menimbang untuk mendapatkan pemain kebangsaan Denmark yang membantu Foxes meraih kedudukan kesembilan Liga Perdana musim lalu.

Puel yang membimbing Leicester untuk musim kedua tahun ini, menegaskan pemain berusia 31 tahun berkenaan masih dalam perancangannya di Stadium King Power.

“Saya tidak gusarkan perkara ini,” kata Puel selepas kemenangan 4-1 mengatasi Notts County dalam aksi pra-musim.

“Sudah pasti Kasper sangat penting untuk kami. Dia sangat menyerlah di Piala Dunia. Kami perlukan karektor, persembahan dan konsisten darinya.”

Ditanya sama ada Leicester menerima sebarang tawaran untuk Schmeichel, Puel berkata: “Tidak. Tiada masalah dengan perkara ini.

“Terdapat banyak spekulasi ketika ini, ia normal.”

Schmeichel berdepan saingan lebih sengit musim ini susulan kehadiran Danny Ward yang melengkapkan perpindahan bernilai £12.5 juta (RM66.6 juta) dari Liverpool.

Puel berkata Ward tidak dibawa masuk untuk menggantikan Schmeichel secara langsung namun lebih kepada memberikan persaingan serius kepada pemain Denmark itu.

“Saya fikir dia mampu mewujudkan lebih banyak saingan dalam skuad dan pilihan,” kata Puel. “Adalah bagus wujud persaingan antara pemain dalam skuad untuk mewujudkan keinginan bermain dengan cara terbaik, ia memberikan fokus yang bagus dan konsentrasi.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here