Kastam Kedah rampas dadah dianggar lebih RM18 juta

0
46



Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah merampas pelbagai jenis dadah dianggar RM18,330,000 di pintu masuk Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bukit Kayu Hitam pada 23 Mei lalu.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM Datuk Zulkifli Yahya berkata dalam kejadian pada 9.15 pagi itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun ditahan untuk siasatan setelah anggotanya melakukan pemeriksaan ke atas kereta yang dipandu lelaki itu di lorong pemeriksaan kastam.

“Pemeriksaan rapi pada bahagian but kereta yang ditutup dengan papan lapis pada sistem audio itu menemukan sejumlah ketulan dadah dipercayai jenis heroin seberat 154 kilogram, beberapa bungkusan dadah dipercayai methamphetamine seberat 38 kilogram dan ketamine seberat enam kilogram,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita dalam sidang media di pejabat JKDM Bukit Kayu Hitam hari ini sambil menambah ia merupakan rampasan terbesar di Kedah, setakat ini.

“Rentetan itu, seorang suspek lelaki berusia 36 tahun yang dipercayai anggota sindiket ditahan di Alor Setar untuk siasatan. Kita masih menyiasat di mana dadah itu diperolehi dan melibatkan pasaran mana, ” katanya.

Zulkifli berkata, suspek berusia 26 tahun itu didapati berulang alik ke negara jiran sebelum ini melebihi dua kali.

Katanya, ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Mereka direman hingga 5 Jun untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Zulkifli berkata, pihak JKDM akan terus meningkatkan kawalan di sempadan Bukit Kayu Hitam supaya mereka yang terlibat dengan kegiatan ini tidak terlepas daripada penguatkuasaan.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here