Kastam lancar program pematuhan GST

0
152
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hari ini melancarkan program GST Compliance Assurance Programme (myGCAP), sebagai satu langkah proaktif untuk memastikan kelancaran penguatkuasaan GST di negara ini.

Melalui program tersebut, MyGCAP akan menggalakkan orang berdaftar GST mengurus risiko GST, serta memperbaiki pematuhan terhadap cukai tersebut.

Ini akan dilaksanakan menerusi satu rangka kerja kawalan GST secara sukarela (voluntary compliance).

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) berkata MyGCAP akan ditawarkan kepada syarikat-syarikat tersenarai awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan akan diluaskan ke syarikat-syarikat lain secara berperingkat.

Kementerian itu menambah, kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai langkah untuk merancakkan persekitaran perniagaan di negara ini.

Ini termasuk penyediaan gerbang tunggal uCustoms, yang mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan JKDM, dengan menyingkatkan tempoh pelepasan kastam, mengurangkan intervensi manusia dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

MOF menambah, kerajaan juga telah mengurangkan tempoh maksimum pendaftaran GST bagi syarikat dari 14 hari ke satu hari, di samping memendekkan tempoh pemfailan cukai bulanan kepada dua bulan bagi syarikat-syarikat layak.

Sementara itu JKDM berkata, ia juga sedang merangka satu sistem peperiksaan untuk memberikan kelayakan dan pensijilan kepada bakal MyGCAP Reviewers.

Peperiksaan MyGCAP Reviewer yang pertama dijangka dilaksanakan sekitar April atau Mei tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here