Kawal ketat semua pintu masuk

0
47



Kuala Nerus: Semua pintu masuk ke negara ini dipantau lebih ketat dan berada dalam kesiapsiagaan tinggi bagi mengelakkan menjadi sasaran militan Daish untuk menyeludup masuk bagi mencari perlindungan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya mendapati anggota kumpulan militan itu melarikan diri berikutan menjadi buruan di negara jiran seperti Filipina dan Indonesia.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui PDRM (Polis Diraja Malaysia) memantau dengan dekat jika ada kemungkinan mereka (militan Daish) yang mahu lepas lari dari Marawi, Mindanao (Filipina) atau Indonesia dan Bangkok (Thailand) cuba masuk ke negara ini.

“Sehubungan itu, kita pastikan semua pintu masuk ke negara ini berada dalam kesiapsiagaan tinggi termasuk lorong tikus yang dipantau Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) dan APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia).

“Selain itu, TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) akan memainkan peranan bagi memantau perairan antarabangsa manakala di Sabah pula dikendalikan ESSCOM (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah),” katanya pada sidang media sempena program Penerapan Nilai-Nai Murni Timbalan Perdana Menteri bersama warga KDN, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, enam individu dipercayai terbabit dalam aktiviti kumpulan Daish ditahan dalam operasi selama empat hari sejak 23 Mei lalu oleh Bahagian Antipengganas Cawangan Khas, Bukit Aman disahkan berada dalam senarai syak PDRM.

“Kita akan terus buru sehingga mereka yang berada dalam senarai syak ini dapat ditangkap,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, umat Islam di negara ini dinasihatkan tidak membazir makanan terutama ketika berbuka puasa sepanjang Ramadan.

“Statistik Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menunjukkan setiap tahun sepanjang tempoh Ramadan, rakyat negara ini membuang 270,000 metrik tan makanan yang tidak diusik. Jumlah sebanyak itu boleh dihidangkan kepada 180 juta orang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here