KBS tangguh bayaran

0
107
Advertisement



PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menangguhkan baki bayaran akhir berjumlah RM40,000 kepada kontraktor, Kuckreja & Co kerana mereka gagal mematuhi perjanjian termasuk menyiapkan kerja-kerja menanggalkan semula permukaan getah gelanggang hoki dalam dewan yang dipasang di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, sebelum kejadian syarikat kontraktor terbabit – Kuckreja & Co telah diberikan kontrak untuk memasang dan membuka permukaan getah bagi gelanggang hoki dalam dewan di MITEC untuk kegunaan temasya KL 2017.

Berikutan itu, selepas KL2017 berakhir, Kuckreja & Co diarahkan untuk menanggalkan permukaan getah terbabit sebagaimana yang disebut dalam kontrak.

“Bagaimanapun, mereka enggan melakukan kerja tersebut dan meminta agar bayaran akhir berjumlah RM40,000 diberikan terlebih dulu.

“Pihak KBS tidak menunaikan permintaan terbabit kerana bayaran akhir hanya akan diselesaikan apabila siap semua kerja sebagaimana sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan kepada wartawan meja sukan NSTP di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, keengganan Kuckreja & Co menanggalkan semula permukaan getah terbabit menghalang kerja-kerja beberapa kontraktor lain yang mahu mengeluarkan peralatan lain yang turut digunakan di gelanggang hoki terbabit.

Oleh kerana itu, Lokman berkata KBS terpaksa membenarkan permukaan getah terbabit dibuka oleh kontraktor lain bagi membolehkan peralatan mereka dikeluarkan.

“Akibatnya, enam daripada 28 gulung permukaan getah tersebut rosak. Baki 22 gulung permukaan getah yang berada dalam keadaan baik kini berada dalam simpanan KBS.

“KBS akan bertindak memotong sebahagian jumlah bayaran akhir kepada syarikat Kuckreja & Co ini sebagai ganti rugi akibat kegagalan mereka menyiapkan kerja menanggalkan semula permukaan getah,” katanya.

Berhubung kelewatan pembayaran akhir sebagaimana yang disebutkan di dalam media sebelum ini, Lokman berkata, ia berpunca daripada dokumen sokongan yang belum dilengkapkan kontraktor terbabit.

“Kontraktor terbabit juga sudah diminta untuk mengemukakan dokumen berkenaan dan pembayaran akan dilaksanakan sebaik saja dokumen itu diterima,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung kerosakan yang berlaku.

Menurut Zolkples, tanggungjawab menjaga peralatan dan kemudahan selepas temasya KL2017 adalah di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Kemudahan yang dipengerusikan sendiri oleh KSU KBS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here