KDNK Perak terus meningkat, kata Zambry

0
13

IPOH: Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menafikan dakwaan pihak pembangkang bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perak merosot, sebaliknya KDNK negeri ini terus meningkat.

Beliau berkata pada 2010, KDNK per kapita Perak telah melonjak kepada RM18,207 atau 15.1 peratus berbanding tahun sebelumnya dan angka itu terus melonjak kepada RM27,246 pada 2016.

Katanya KDNK pada harga malar meningkat daripada RM43.3 juta pada 2010 kepada RM60.4 juta pada 2016 dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 5.7 peratus.

“Ini adalah bukti pencapaian dan kejayaan Barisan Nasional. Sudah tentu, sebelah sana tidak berpuas hati kerana angka-angka rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan tidak memihak kepadamereka,” katanya pada sesi penggulungan Bajet Perak 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Zambry turut menafikan dakwaan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) bahawa pada 2009, KDNK per kapita Perak menjunam mendadak kepada RM14,457 atau 7.32 peratus.

“Berdasarkan angka Jabatan Perangkaan, KDNK per kapita Perak pada 2009 adalah RM15,809 dan bukan RM14,457 seperti yang didakwa,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Pangkor berkata kerajaan negeri akan menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai yang menampilkan gaya hidup sihat dan bukan gaya hidup bebas dengan rokok dan arak.

Katanya kerajaan negeri juga mahu menjadikan pulau itu sebagai ‘syurga keluarga’ yang membolehkan pelancong yang datang ke pulau itu membeli-belah seperti pinggan mangkuk, pakaian berjenama dan coklat.

“Kita juga sedang membincangkan untuk menambah barangan seperti kristal, barang kemas, peralatan dapur, beg dan bagasi dan sebagainya,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here