Kebanyakan buku berkaitan pengganas hanya dimiliki oleh orang perseorangan

0
101



KUALA LUMPUR: Kebanyakan buku berkaitan pengganas hanya dimiliki oleh orang perseorangan dan tidak dijual secara meluas kepada umum, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

“Memang boleh diharamkan tetapi selalunya yang diharamkan untuk pengedaran awam, sekiranya buku itu tak diedarkan kepada awam, KDN (Kementerian Dalam Negeri) tidak perlu mengambil tindakan.

Selalunya edaran melalui penerbitan dan dijual di kedai tetapi sekiranya buku itu dimiliki oleh orang perseorangan tidak semestinya buku itu diharamkan jadi ia masih lagi dalam pertimbangan (pengharaman) kerana buku itu masih tidak diedarkan secara umum,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atas Siti Noor Aishah Atam yang didapati bersalah atas dakwaan memiliki 12 buku mempromosi fahaman militan seperti Daish.

Siti Aishah disabitkan bersalah di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Nur Jazlan ditemui pemberita selepas merasmikan serentak program Malaysiaku Negaraku dan #BlackoutBumiSakit: Bersama Selebriti Selamatkan Dunia di Comedy Planet hari ini.

Sementara itu, beliau memberi amaran kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) supaya menghentikan tindakan mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan kaum di negara ini.

Katanya KDN sedang memantau tindakan kumpulan-kumpulan tertentu yang dilihat cuba membangkitkan isu perkauman dan kebencian agama.

“Saya meminta kumpulan-kumpulan ini hentikan peperangan mulut di depan awam ni sama ada kumpulan Islam ke atau Hindu ke, hentikan,” katanya.

KDN memantau perkara ini sama ada pertikaman lidah ini akan membawa kepada keadaan keruh dan ketenteraman awam terjejas. Tapi setakat ini masih belum sampai sehingga masalah ketegangan awam.

Kita nak mereka hentikan kerana tidak menguntungkan mana-mana pihak,” katanya.

Semalam, sebanyak 22 NGO Melayu Islam mendesak kerajaan mengharamkan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang disifatkan rasis, ekstremis dan boleh mengancam keselamatan negara.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here