Kedudukan kewangan SESB kukuh, operasi berjalan lancar – TNB

0
152
Advertisement

KOTA BELUD: Kedudukan kewangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kukuh dan operasinya berjalan lancar, kata pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB), Tan Sri Leo Moggie.

Beliau berkata TNB, sebagai pemegang saham utama SESB, akan meneruskan tumpuan ke atas usaha untuk memastikan bekalan elektrik di Sabah disediakan dengan cekap dan lancar.

“Kami akan mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkaitan dalam perkara ini, seperti kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Latihan Teknikal SESB di sini hari ini.

Moggie mengulas pertanyaan pemberita mengenai operasi masa hadapan SESB, ekoran dakwaan syarikat tenaga itu berhadapan tindakan insolvensi.

Mengenai kesediaan kerajaan negeri menambah kepentingannya dalam SESB, beliau berkata perkara itu perlu dibincangkan oleh pemegang kepentingannya.

Mengenai pusat latihan itu, Moggie berkata ia dibuka dengan usaha sama Institut Latihan Sultan Ahmad Shah bagi melahirkan petugas teknikal dan kontraktor yang mahir yang berdaftar dengan SESB, dan mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga.

Pengarah Urusan SESB Ir. Abd Razak Sallim berkata pusat latihan itu, yang diubah suai dariada stesen janakuasa yang tidak digunakan lagipada kos RM400,000, mula beroperasi pada 2016.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here