Kehidupan terhenti: Seorang nenek Bali menunggu letupan Gunung Agung

0
202
Advertisement
PALING akhir Gunung Agung di Bali meletup ialah pada tahun 1963, dengan lebih 1,700 terkorban.

Aliran piroklastik — campuran gas dan bahan gunung berapi yang bergerak deras — memusnahkan kampung-kampung di sekitar gunung suci itu.

Tempat yang hanya selamat ialah kuil Pura Ibu Besakih — laluan lahar hanya beberapa meter jarak daripadanya.

Sejak 21 September lalu, kebimbangan terhadap bencana seumpama itu mula menghantui penduduk kampung yang panik lalu melarikan diri.

Pada masa kolum ini ditulis, hampir 150,000 orang dipindahkan ke 471 pusat-pusat perlindungan.

Pada 1 Oktober, pasukan Ceritalah pergi ke pinggiran Gianyar (kira-kira 62 km dari Gunung Agung) untuk melawat sebuah pusat perlindungan yang dibiayai swasta berhampiran dengan stadium bola sepak di bandar itu.

Gunung Agung
Di situ kami bertemu Nyoman Gerti, seorang nenek berusia 52 yang mempunyai lima cucu dari Kampung Ababi, sebuah perkampungan terpencil yang terletak di lereng Gunung Agung.

Badan berisi dan peramah, Nyoman yang mesra¬† dengan sapaan Ibu Nyoman berkata: “pada 21 September, kami berasa gempa pertama di tengah-tengah malam. Saya tersedar dan menarik cucu-cucu saya. Kelam-kabut. Semua orang keluar dari rumah masing-masing.”

“Mereka yang ingat letupan tahun 1963 memberitahu kami supaya menghindari sungai, sentiasa berada di tanah tinggi supaya selamat. Saya enggan tidur di rumah itu lagi!”

“Tetapi gegaran terus berlaku — dua atau tiga kali sehari. Saya tidak boleh tidur, tidak boleh tumpukan perhatian dan tidak boleh makan. Jadi, dua hari kemudian, kami semua berpindah ke sini. Saya masih bimbangkan rumah itu, tetapi saya berasa lebih tenang mengetahui bahawa kami berada jauh daripada gunung berapi itu.”

Anehnya, terdapat amat sedikit orang lelaki berusia kerja berada di pusat itu. Ibu Nyoman berkata: “Keluarga kami berpecah. Suami dan anak-anak saya masih berada di kampung. Mereka mengawal harta benda kami dan menjaga haiwan ternakan. Orang perempuan dan orang tua berada di sini, bersama kanak-kanak. Di sini selamat.”

Gunung Agung

Lalu saya ingin bertanya, adakah ini keadaannya bagi kebanyakan keluarga. Semua wanita yang berada di situ mengangkat tangan.

Ketika mana semua orang tertumpu pada kesan terhadap pelancongan Bali, kebanyakan dari mereka yang membiarkan ribuan orang yang badannya kuat masih berada di zon bahaya untuk menjaga haiwan ternakan mereka.

Ibu Nyoman bercerita tentang dua ekor lembu (bersama seekor anaknya), 10 ekor babi dan beberapa ekor ayam miliknya.

Seekor lembu bernilai IDR8/10,000,000 dan seekor babi berharga IDR1,000,000. Sambil menggeleng kepalanya, Ibu Nyoman turut berkata: “Haiwan itu terlalu berharga untuk ditinggalkan. Ia adalah kehidupan kami. Jika kami kehilangannya, kami tidak ada apa-apa lagi.”

“Ia terlalu berbahaya untuk kami pulang. Setiap hari, terdapat tiga atau empat gempa. Orang lelaki yang mebih muda boleh beredar segera dengan motosikal mereka jika apa-apa berlaku.”

Saya bertanya Ibu Nyoman, jika dia merindu suami dan anak-anaknya.

Secara bersahaja beliau menjawab, “saya sudah biasa dengan keadaan begini …Selalunya, anak-anak lelaki saya yang bekerja sebagai tukang batu berhijrah ke bandar dan hanya balik 10 hari sekali.”

Peliknya, keadaan sekarang sudah terbalik dengan golongan wanita berada di bandar dan kaum lelaki tinggal di rumah.

Tetapi kehidupan sebelum keadaan cemas yang terbaru ini bukanlah suatu yang nyaman bagi Ibu Nyoman.

“Kampung kami hanya dapat elektrik tujuh tahun lalu. Sebelum itu kami masih menggunakan lampu minyak. Tidak ada jalan tar hanya laluan konkrit.”

Ibu Nyoman memiliki sebuah gerai runcit di kampungnya. Dalam sehari, Ibu Nyoman mampu memperolehi pendapatan IDR15,000 (kira-kira USD1).

“Kadang-kadang saya ada wang yang cukup untuk memberi makan pada semua ahli keluarga. Pada masa lain saya menahan lapar supaya cucu-cucu saya dapat makan. Keadaan ekonomi sebenarnya semakin buruk sejak zaman bapa saya: tidak ada pekerjaan di kampung.”

Walaupun menghadapi kesusahan dalam kehidupan sehariannya, wajah Ibu Nyoman berseri apabila bercakap mengenai Putu Dobriani, cucunya yang berusia 17 tahun.

“Ibunya — anak saya — meninggal dunia akibat kanser tekak ketika anaknya itu berusia tiga tahun. Sejak itu, saya menjaga dia seperti anak saya.”

“Saya tidak pernah belajar membaca atau menulis. Bapa saya adalah seorang sami, jadi beliau sentiasa berada di kuil dan tidak memiliki wang untuk menghantar saya ke sekolah. Terhadap Dobriani, saya berazam untuk memberikannya pendidikan.”

“Sekarang dia di sekolah menengah. Anak yang pertama dari keluarganya yang dapat ke sekolah itu. Dia menunggang motosikal setiap hari dan apabila lulus sekolah nanti, dia sememangnya mahu bekerja di hotel. Impiannya adalah suatu hari dapat memiliki komputer riba …”

Namun, letupan Gunung Agung itu boleh merampas sedikit kemajuan yang telah dicapai itu.

Lewat hari itu, ketika kami kembali untuk menemui anak-anak lelakinya yang tampan itu, mereka berbisik kepada kami — seolah-olah tidak mahu menyusahkan hati ibu mereka — bahawa mereka terpaksa menjual haiwan ternakan dengan potongan harga yang banyak.

Ibu Nyoman mula runsing. “Saya tidak tahu mengapa perkara ini berlaku. Mungkin Tuhan marah kerana kami telah melakukan sesuatu yang salah? Mungkin sebab pelombongan itu? Mereka mesti sudah mengganggu Alam. Mungkin kerana orang telah mendaki gunung itu dan tidak menghormatinya?”

“Malah, saya tidak tahu bila atau jika ia meletup. Ada suatu upacara bagi bulan penuh keempat pada 3 Oktober ini. Saya mahu balik tetapi anak saya kata ia terlalu berbahaya. Ia adalah bulan penuh paling penting dalam tahun ini … saya berasa amat kecewa.”

Karim Raslan

Bagi orang Bali, kehidupan berlegar pada penyembahan. Kepercayaan dan upacara mereka tersemat dalam rasa keseimbangan mereka di dunia ini. Pembatalan atau penangguhan suatu upacara utama adalah suatu perkara yang berat, dan dianggap mencabar Tuhan.

“Saya mahu sembahyang untuk keselamatan. Untuk masa depan keluarga saya. Saya berharap jika saya sembahyang dengan secukupnya, Tuhan akan mengasihani kami.”

Tetapi, saya tidak dapat mengelak daripada merasa bahawa terdapat penyelesaian dunia terhadap masalah-masalah pulau ini.

Tatkala pulih, seperti mana ia bangkit selepas kebanyakan bencana alam dan malapetaka buatan manusia yang berlaku sebelum ini: kekuatan dan daya ketahanan penduduknya pasti akan memulihkannya.

Namun, pemimpin-pemimpinnya juga perlu memikirkan masa depannya.

Pelancongan di Bali mencapai pertumbuhan 20 peratus tahun ke tahun. Tahun lalu, 4.4 juta pelancong asing mengunjungi pulau yang majoriti penduduknya beragama Hindu itu. Akibatnya ialah pembangunan pesat dengan puluhan hotel muncul setiap tahun.

Tetapi manfaat ekonominya tidak serata. Ketika mana bahagian selatan pulau itu berkembang pesat dengan kunjungan pelancong, kampung-kampung terpencil di bahagian utara — seperti Ababi tidak diberi perhatian.

Ketidakstabilan ini mesti ditangani. Satu inisiatif utama — selepas ancaman bencana ini berlalu — ialah untuk menghidupkan semula suatu rancangan yang sudah lama tergendala, iaitu pembinaan sebuah lapangan terbang di bahagian utara, hampir dengan bandar pelabuhan Singaraja.

Ini akan mengurangkan kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di bahagian selatan, dengan manfaat pelancongan dirasai di kawasan yang selama ini terlepas pandang, di bahagian utara pulau tersebut.

Realitinya, aktiviti gunung berapi ini sepatutnya turut menjadi ‘pencetus’ dan bukan inersia kepada sektor pelancongan di kawasan ini.

Nota: Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram fromkmr

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here