Kekuatan ekonomi AS terus beri tekanan kepada ringgit, Bursa Malaysia

0
66
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika hari ini, susulan aktiviti jualan oleh pelabur yang mula beralih ke mata wang selamat.

Ini berikutan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS bakal menaikkan kadar faedahnya empat kali tahun ini.

Peningkatan kenaikan kadar faedah negara itu menandakan ekonominya semakin kukuh, yang kemudiannya akan menarik naik kadar dagangan dolar AS berbanding ringgit.

Matawang tempatan hari ini dibuka pada 3.9255/USD, dan turun kepada 3.9300/USD setakat jam 10.20 pagi.

Ringgit turut diniagakan rendah berbanding kebanyakan mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9593/9622 daripada 2.9583/9624 pada Rabu, bagaimanapun meningkat berbanding pound British kepada 5.3968/4031 daripada 5.4383/4462 semalam.

Ia merosot berbanding euro kepada 4.7840/7881 daripada 4.7837/7898 semalam dan rendah berbanding yen kepada 3.6780/6818 daripada 3.6551/6606 pada Rabu.

Bursa Malaysia turut tidak terlepas daripada impak kekukuhan ekonomi AS.

Setakat 9.06 pagi, FBM KLCI dibuka pada 1,852.56 mata, susut 3.64 mata berbanding penutup Rabu.

Pasaran negatif dengan 314 kaunter rugi mengatasi 87 kaunter untung, manakala 166 kaunter tidak berubah, 1,282 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 245.84 juta saham bernilai RM88.04 juta. 

Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menjangka dagangan di Bursa Malaysia akan terus tidak menentu hari ini.

Maybank IB menambah, FBM KLCI juga akan menjejaki penurunan di Wall Street, yang merosot kepada paras terendah dalam tempoh dua tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here