Kelentong jual G-Shock dari China

0
52



Kuala Lumpur: Permintaan tinggi terhadap jam tangan terkenal jenama G-Shock menjadi tarikan dua peniaga membeli ratusan jam tangan tiruan jenama sama untuk dijual kepada orang ramai.

Bagaimanapun impian mereka mengaut keuntungan lumayan berkecai apabila premis mereka di Lorong Haji Taib, di sini, diserbu anggota bahagian penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK).

Dalam serbuan jam 11 pagi semalam, sebanyak 16,641 pasang jam tangan jenama tiruan bernilai hampir RM500,000 dirampas selepas disahkan palsu oleh wakil pemilik cap dagang yang sah.

Kedua-dua premis berkenaan dikesan aktif menjual jam tangan tiruan itu kepada orang ramai terutama pelancong asing dengan mendakwa diimport dari Jepun.

Namun ramai mangsa yang terpedaya dan tidak mengetahui jam tangan berkualiti rendah itu sebenarnya diseludup dari China.

Kegiatan penipuan itu dipercayai membolehkan peniaga memperolehi keuntungan lumayan hasil penjualan jam tangan palsu mencecah harga RM350 setiap satu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan Wan Mohd Yusof Wan Taib berkata, tujuh anggota termasuk pegawai penguat kuasa KPDNKK menjalankan serbuan di kedua-dua premis berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui jam tangan tiruan jenama G-Shock, Baby-G, Casio dan Edifice cetak rompak.

“Semua jam tangan dirampas dianggarkan bernilai RM499,230 berdasarkan harga pasaran,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, beberapa pekerja di premis itu turut diambil keterangan untuk mengenal pasti pembekal sebenar produk berkenaan.

Wan Mohd Yusof berkata, pengusaha premis disiasat mengikut Seksyen 8(2), Akta Perihal Dagangan (APD 2011) yang jika sabit kesalahan bagi syarikat boleh didenda RM15,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya denda RM30,000.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here