Keliru dan buntu hidup sendiri, ibu tunggal lihat sendiri suami diheret tentera

0
47
Advertisement

KUTUPALONG (Bangladesh): Berbaju hitam dengan selendang melilit kepala, seorang ibu tunggal menggagahkan dirinya yang berkaki ayam untuk mengharungi keperitan cuaca panas terik, dengan seorang bayi yang dikendongnya.

Kening kedutnya nya tidak berhenti-henti berkerut dan air matanya seakan-akan bisa mencurah bila-bila masa.

Jamalidah, 28, diperhatikan sabar menunggu giliran untuk seorang doktor memeriksa keadaan anaknya yang masih memejamkan mata.

Keliru dan buntu terpampar di wajahnya, seolah-olah sedang menghitung nasib, apa yang akan terjadi kepada anaknya itu.

“Anaknya kekurangan air dan perlu ke hospital segera untuk rawatan lanjut,” ujar sukarelawan MERCY Malaysia Dr T. Sockalingam, selepas selesai melakukan pemeriksaan anak Jamalidah itu yang baru berusia satu tahun.

“Jika tidak, keadaan anaknya akan menjadi lebih teruk,” tambah Dr Sockalingam.

Perkara itu disampaikan kepada Jamalidah menerusi seorang penterjemah.

Dia masih diam terkedu, ke mana pula seharusnya dia pergi selepas ini memandangkan baru 10 hari menjejaki negara orang.

Jamalidah masih tidak biasa dengan koordinasi lokasi-lokasi di kem itu untuk mendapatkan bantuan di Kutupalong ini.

Di mana pula terletaknya hospital, jika lokasi untuk mendapatkan bantuan seperti tikar dan air yang bersih sukar dicari?

Jamalidah meluahkan rasa kebimbangannya itu kepada penulis, memandangkan tiada siapa dapat membantunya untuk beratur mendapatkan bantuan.

Kebiasaannya di sebuah kem pelarian, seorang suami atau mana-mana ahli keluarga lelaki akan mewakilkan diri mereka untuk mengambil bantuan di pusat pengagihan.

Namun bagi Jamalidah, dia tidak mempunyai siapa-siapa di sini.

Ceritanya, dia menyaksikan sendiri suaminya diheret askar Myanmar dan diikat tangan.

“Mereka menangkap dan membunuh suami saya,” jelasnya.

Ketika itu, hanya ada satu perkara yang perlu dilakukan oleh Jamalidah. Lari menyelamatkan diri bersama anaknya.

Kisah Jamalidah hanyalah satu daripada seribu cerita gelap dan duka dalam kalangan lebih 500,000 pelarian Rohingya yang menumpang di kem pelarian negara jiran, Bangladesh.

Setakat ini, katanya dia sudah mendapat bantuan khemah untuk dia dan anaknya berteduh.

“Tapi bila hujan, kami akan menggigil kesejukan sebab tidur masih berlantaikan tanah.

“Saya tidak membawa apa-apa apa sewaktu lari daripada rumah di Myanmar,” tambahnya.

Jamalidah kemudiannya meninggalkan pos kesihatan yang dikendalikan oleh MERCY Malaysia itu dengan beberapa persoalan.

“Apa yang akan terjadi pada dirinya pada masa hadapan?”

“Apa yang akan terjadi pada anaknya pada masa hadapan?”

“Adakah dia masih mampu hidup di negara orang ini?”

Jamalidah menggenggam erat surat rujukan yang ditulis oleh Dr T. Sockalingam tadi, mengatur langkah lokasi baru yang perlu cari, iaitu sebuah hospital di daerah ini.


*Wartawan Astro AWANI, Mariah Ahmad kini berada di Cox’s Bazar untuk Misi Kemanusian Mercy Malaysia Bantu Pelarian Rohingya di Bangladesh.

**Ikuti akaun media sosial beliau di Twitter (@a_marea) bagi mengikuti perkembangan terkini situasi di kem pelarian di Cox’s Bazar.

***Jika anda ingin membantu atau menderma, sila layari laman web MERCY Malaysia di: http://mercy.org.my/how-to-donate/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here