Keliru kibar bendera terlalu awal

0
15
Advertisement



FORMULA Satu (F1) berkata hari ini pihaknya akan mengkaji semula prosedurnya selepas Grand Prix Kanada berakhir dengan kekeliruan dan memalukan selepas seorang selebriti mengibarkan bendera penamat terlalu awal.

Insiden berkenaan bagaimanapun tidak mengganggu keputusan perlumbaan yang dimenangi pemandu Ferrari, Sebastian Vettel, namun pemandu Jerman itu berkata dia terpaksa bertanya kepada pasukan di hentian pit sebelum meneruskan saingan 70 pusingan penuh.

“Nasib baik kami ada radio, nasib baik saya mengira pusingan dalam jentera dan papan petunjuk tepat – tapi jika anda tiada radio dan papan petunjuk tiada, anda pasti ketinggalan,” kata Vettel selepas mencipta kemenangan ke-50 dalam karier.

“Saya hanya risau, saya juga beritahu mereka pada pusingan terakhir, jadi orang ramai tidak terjun ke trek, mengibar bendera dan meraikannya, kerana kami masih bergerak dengan kepantasan penuh.”

Keputusan rasmi kemudiannya menyatakan ia berdasarkan pusingan ke-68 untuk mengelak sebarang kesan dengan kibaran bendera awal itu.

Pengarah perlumbaan Formula Satu, Charlie Whiting berkata kesilapan itu disebabkan kesilapan komunikasi mudah antara pegawai permulaan dan kru di menara yang menyebabkan model, Winnie Harlow – rakan juara dunia dari Mercedes, Lewis Hamilton – mengibarkan bendera lebih awal.

“Ia adalah salah faham antara pegawai di platfom dan orang yang menghubungi pegawai di sini,” kata Whiting. “Dia ingat sudah pusingan terakhir dan bertanya kepada mereka yang berada di menara untuk mengesahkannya, dan mereka mengesahkannya.

“Mereka ingat dia membuat kenyataan ketika sebenarnya dia ingin bertanya.

“Dia memberitahu pemegang bendera untuk mengibar lebih awal. Ia mudah, ia tiada kena mengena dengan selebriti yang mengibar bendera.

“Selebriti itu tidak boleh dipersalahkan.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here