Keluarga Otto Warmbier tolak bedah siasat

0
164
Advertisement


OTTO Frederick Warmbier – Foto AFP

NEW YORK: Otto Warmbier yang meninggal dunia semalam, hanya akan menjalani pemeriksaan luaran, selepas keluarganya menolak proses bedah siasat.

Warmbier, 22, adalah pelajar Amerika Syarikat (AS) yang ditahan di Korea Utara selama 17 bulan, sebelum dibebaskan baru-baru ini.

Menurut penyiasat, Daryl Zornes, Pejabat Koroner Daerah Hamilton sudah berbincang dengan pihak Hospital Cincinnati berhubung perkara itu, sebelum kedua-dua pihak mencapai persetujuan mengenai punca kematian Warmbier.

“Pasukan penyiasat masih mengkaji semula imej radiologi, selain menunggu tambahan rekod perubatan yang diminta pihak koroner,” kata Zornes kepada Reuters.

Terdahulu, pejabat koroner berkata, mereka menerima mayat Warmbier untuk proses bedah siasat dan hasil pemeriksaan awal dijangka diperoleh dalam tempoh beberapa hari.

“Rancangan itu berubah selepas keluarga Warmbier mendesak bedah siasat dibatalkan, sebaliknya mengehadkan ia kepada pemeriksaan luaran selain mengkaji rekod perubatannya,” kata Zornes.

Sementara itu, tiada kenyataan diterima daripada keluarga Warmbier berhubung keputusan itu, yang dijangka mampu mendedahkan punca kecederaan dialami mangsa ketika berada di Korea Utara.

Menurut doktor yang merawatnya sebaik tiba di AS, Warmbier mengalami masalah kerosakan otak yang teruk.

Warmbier yang berasal dari Ohio adalah pelajar Universiti Virginia. Beliau ditahan di Korea Utara pada Januari 2016 ketika mengunjungi negara itu sebagai pelancong.

Beliau dijatuhi hukuman penjara dua bulan sebelum ditambah kepada 15 tahun atas tuduhan mencuri barang yang mengandungi slogan propaganda di sebuah hotel di Pyongyang. – Reuters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here