Kematian komander Abu Sayyaf: M'sia kawal ketat perairan

0
74



Malaysia akan memperketat kawalan perairan negara terutama di Sabah berikutan kematian komander militan Abu Sayyaf, Alhabsy Misaya dalam pertempuran dengan unit marin tentera Filipina di Kepulauan Jolo baru-baru ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengesahkan menerima berita kematian tersebut berkata langkah itu diambil bagi menghalang saki-baki tentera Abu Sayyaf yang melarikan diri dari tekanan tentera Filipina yang semakin agresif menjalankan operasi bagi melumpuhkan aktiviti pengganas di negara itu.

‘Pembunuhan Alhabsy Misaya saya boleh mengesahkannya dan ia banyak berkisar kepada kerjasama rapat antara Malaysia, Indonesia dan Filipina melalui kerjasama trilateral yang telah kita wujudkan,’ kata beliau kepada pemberita pada majlis penutup Program Ziarah Kasih Kementerian Kesihatan Malaysia Parlimen Sembrong di Rumah Komuniti Parlimen Sembrong, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya.

Hishammuddin diminta mengulas laporan sebuah agensi berita asing semalam mengenai kematian pemimpin kanan militan itu yang dipercayai antara dalang kepada penculikan puluhan tebusan Malaysia dan Indonesia di sekitar perairan kedua negara itu.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mengesahkan pihaknya telah menerima arahan supaya mengetatkan kawalan di perairan negara.

“Ini bagi mengelakkan dari tekanan operasi (tentera Filipina) berpindah ke daerah kita. Kita akan terus memberikan yang terbaik buat rakyat Sabah terutamanya di kawasan perairan timur Sabah,” kata beliau.

Mengulas mengenai lawatan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa AlKhalifa ke Malaysia, Hishamuddin berkata pertemuan kali ini akan turut membincangkan soal ancaman penyebaran dakyah dan ideologi keganasan terutama daripada kumpulan militan Daesh yang semakin menular ke seluruh dunia.

“Baginda juga bakal menerima penganugerahan Maroon Beret dan Sayap Penerjunan Kehormat daripada ATM melalui 10 Briged Para. Penganugerahan ini merupakan pengiktirafan dan penghargaan terhadap sumbangan serta usaha baginda dalam menegakkan keamanan di peringkat serantau dan antarabangsa selama ini,” kata beliau.

Hishamuddin akan bertindak sebagai Menteri Pengiring sepanjang lawatan empat hari Raja Bahrain yang dijangka tiba pada pukul 11 malam ini.

Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here