Kemelut tak jejas prestasi pemain

0
77



Kuala Lumpur: Tindakan 10 pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang enggan melepaskan pemain mereka untuk menyertai latihan pusat skuad bawah 22 tahun negara (B-22) tidak mengganggu fokus dua pemain yang masih bersama skuad itu.

Jelas tonggak pertahanan kanan Selangor Muhammad Syahmi Safari, kemelut melanda skuad B-22 itu baginya senario biasa yang sering dihadapi pemain.

Malah, dia yang sedang menjalani sesi pemulihan bersama pegawai fisioterapi skuad B-22 percaya situasi berkenaan tidak akan menjejaskan fokus pasukan apabila beraksi di Kelayakan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok pada 19-23 Julai ini.

“Nak kata rasa tertekan dengan situasi semasa pasukan tidak juga. Mereka bukan sengaja tidak mahu datang ke latihan tapi dihalang pasukan dan kelab masing-masing.

“Isu ini perkara biasa apabila pasukan tidak mahu melepaskan pemain kerana jadual liga padat, tapi saya tetap positif dan meneruskan rutin pemulihan seperti biasa,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kasut bola terbaru, Puma One, di sini, semalam.

Bagi seorang lagi pemain, Ahmad Khairul Anuar Zamri dari Perak, dia percaya kesemua pemain yang disenaraikan akan dapat dikumpulkan selewat-lewatnya pertengahan minggu depan bagi melancarkan persiapan pasukan sebelum turun berdepan Myanmar pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, Khamis ini.

“Secara peribadi saya terkejut apabila melihat hanya enam pemain yang datang melaporkan diri. Ini disebabkan jadual liga padat yang menyebabkan mereka hanya akan datang beberapa hari lagi,” katanya.

Pada Rabu lalu, hanya enam pemain melaporkan diri pada hari pertama latihan pusat sebelum berkurang kepada dua selepas pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee membenarkan empat yang lain pulang ke pangkuan pasukan masing-masing.

Bagaimanapun, 20 pemain lain gagal menyertai latihan apabila menjadikan alasan jadual padat saingan Liga Super dan Piala Malaysia sebagai modal utama pasukan terbabit menghalang pemain mereka.

SHARE
Previous articleLaluan mudah skuad negara
Next articleTinggal dua

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here