Kementerian Kesihatan cuba percepat laporan siasatan bedah siasat pelajar tahfiz

0
81



MELAKA: Kementerian Kesihatan akan cuba mempercepatkan laporan siasatan bedah siasat punca kematian pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, kata Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata ini kerana kematian kanak-kanak berumur 11 tahun itu kini menjadi kes berprofil tinggi selain menjadi perhatian umum dan pihaknya kini sedang melakukan yang terbaik agar tindakan lanjut dapat dilakukan segera.

“Laporan bedah siasat masih dalam proses dan kita belum mendapat apa-apa maklumat lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Saintifik dan Sambutan Hari Juruteknologi Makmal Perubatan peringkat kebangsaan ke-3 di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman rasmi Facebooknya semalam yang mahu supaya siasatan kes kematian Mohamad Thaqif Amin dipercepatkan.

Mohamad Thaqif Amin meninggal dunia petang semalam ketika sedang dalam rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Kisah Mohamad Thaqif Amin yang dimasukkan ke HSI pada 19 April menjadi tular di media sosial selepas dia dilapor mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden madrasahnya.

Selepas kedua-dua belah kakinya dipotong, tangan kanan Mohamad Thaqif Amin pula dijangkiti kuman akibat darah beku dan dijadualkan dipotong dari jari hingga bawah siku semalam, namun pembedahan ditangguhkan kerana jantung pelajar itu dilapor tidak stabil.

Dr Hilmi juga berkata pihak sekolah milik kerajaan atau swasta diminta lebih berhati-hati dan membuat semakan kesihatan atau latar belakang seseorang individu terutama mereka yang mahu diambil sebagai pendidik.

Sementara itu beliau berkata pengamal perubatan terutama golongan pakar di negara ini disaran agar terus meningkatkan kepakaran mereka dalam bidang masing-masing bagi memenuhi keperluan semasa dalam industri perubatan di dalam dan luar negara.

Katanya inisiatif berkenaan ialah bagi memastikan industri perubatan negara tidak ketinggalan di belakang negara lain selain menjadikan golongan berkenaan boleh dipasarkan terutama di negara luar.

“Pakar kita terutama dalam bidang pembedahan jantung banyak mendapat permintaan daripada negara luar bukan hanya secara individu tetapi secara berkumpulan. Mereka bukan hanya hendakkan pakar tetapi kumpulan pakar berkenaan juga termasuk jururawat dan ini adalah satu penghormatan pada kita,” katanya.

Beliau berkata setakat ini negara mempunyai kira-kira 9,000 pakar perubatan di hospital kerajaan dan swasta meliputi 120 bidang termasuk dalam perubatan, pembedahan dan ortopedik.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here