Kementerian Kewangan persoal pelaburan 1MDB bernilai lebih AS$8.33 bilion

0
204
Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MoF) hari ini membangkitkan lebih banyak persoalan mengenai pelaburan bernilai AS$8.33 bilion yang dibuat oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) antara 2009 dan 2013, dan meminta bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab ke atas beberapa transaksi tersebut.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata daripada terus membahaskan sama ada pembayaran 1MDB sebanyak RM6.98 bilion itu sebagai penyelamat oleh MoF, adalah ‘lebih produktif” jika Najib menjawab beberapa persoalan baharu.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau bertanya tiga soalan:

  • Di manakah sejumlah US$1.83 bilion yang dilaburkan dengan Petrosaudi International Ltd antara tahun 2009 hingga 2011?
  • Di manakah sebanyak US$3.5 bilion yang dikumpul pada 2012 untuk tujuan memperoleh loji janakuasa di Malaysia?
  • Di manakah sejumlah US$3 bilion yang dikumpul pada 2013 untuk melabur di Tun Razak Exchange (TRX)?

Mengenai RM6.98 bilion yang dibayar oleh MoF bagi pihak 1MDB, Lim berkata pembayaran dibuat berhubung pinjaman yang tidak berkaitan sama sekali dengan projek hartanahnya 1MDB, termasuk Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia. BACA: Istilah ‘bailout’ 1MDB bukan sahaja tepat, malah terbesar dalam sejarah – Guan Eng

Ia sebaliknya dibuat untuk membayar faedah kupon tiga terbitan bon – bon 10 tahun bernilai US$3.5 bilion yang diterbitkan pada Mei dan Oktober 2012, bon 30 tahun berjumlah RM5 bilion yang diterbitkan pada 2009, dan bon 10 tahun bernilai US$3 bilion diterbitkan pada Mac 2013 – dan membayar pendahuluan US$1.2 bilion daripada International Petroleum Investment Corp (IPIC) Abu Dhabi.

Bon bernilai US$3.5 bilion bertujuan untuk memperoleh aset loji janakuasa. Walaupun aset tersebut telah dilupuskan dan hasilnya telah digunakan sepenuhnya, bon masih tertunggak.

Bon RM5 bilion digunakan terutama untuk pelaburan 1MDB yang gagal dengan PetroSaudi International.

Bagi bon bernilai US$3 bilion, ia bertujuan untuk membiayai pembangunan TRX, namun Ketua Audit Negara melaporkan dana yang dikumpul itu tidak digunakan untuk tujuan berkenaan.

Pembayaran itu juga dibuat untuk membayar sepenuhnya pendahuluan US$1.2 bilion daripada International Petroleum Investment Corporation (IPIC) Abu Dhabi (IPIC) dengan pendahuluan dibuat pada April 2015 untuk membayar balik pinjaman US$975 juta daripada konsortium yang diketuai oleh Deutsche Bank, katanya.

“Oleh itu, mengapa pulangan daripada projek-projek hartanah, tanah yang pada asalnya diperoleh murah daripada kerajaan, digunakan untuk membayar segala hutang 1MDB yang lain?, katanya.

“Berdasarkan semua fakta dan angka ini, tidak ada penerangan lain ke atas pembayaran RM6.98 bilion oleh MoF bagi pihak 1MDB setakat ini, selain menggambarkannya sebagai penyelamatan tunggal terbesar dalam sejarah oleh kerajaan Malaysia,” katanya.

Lim berkata MoF akan bekerja rapat dengan Jawatankuasa Khas 1MDB yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir bagi memperoleh kebenaran sepenuhnya mengenai MDB untuk mendapatkan semula sebahagian besar dana yang hilang dan dicuri, untuk menampung hutang dan defisit yang diwujudkan oleh pentadbiran Najib.

Pendedahan itu juga akan membantu kerajaan menghukum mereka yang bertanggungjawab terhadap skandal rasuah terburuk yang pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here