Kempunan khidmat Sandro

0
39



Alor Setar: Ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff terpaksa melakukan rombakan di bahagian tengah dalam aksi pertemuan Liga Super menentang Melaka di Stadium Hang Jebat, esok selepas pemain tengah Kedah Sandro Da Silva tidak dapat beraksi kerana sudah menerima tiga kad kuning.

Menurut Nidzam, aksi Sandro terpaksa dilupakan kerana dia mengumpul tiga kad kuning.

“Dia terlepas peluang beraksi kali ini di Melaka dan saya terpaksa membuat rombakan di bahagian tengah bagi mengukuhkan jentera tengah dan hadapan untuk bertemu Melaka kali ini.

“Melihat kepada situasi kini, kami akan melakukan giliran pemain dengan memberi peluang kepada pemain tempatan yang tidak beraksi dalam perlawanan lalu, termasuk pemain berpotensi menggantikan posisi Sandro di Stadium Hang Jebat.

“Aksi Sandro bergandingan dengan Liridon Krisniqi dan Ken Iso di bahagian tengah memang menjadi tunjang utama dalam serangan Kedah dan pastinya saya perlu meneliti keadaan itu dengan menggantikan dengan pemain yang bersedia kali ini,” katanya.

Katanya, motivasi pemain lain yang kini kembali memuncak selepas kemenangan besar 5-0 ke atas UiTM di Shah Alam dalam perlawanan Piala Malaysia memberi semangat tambahan buat semua pemain untuk meneruskan aksi memburu kemenangan esok.

“Memang kami agak terkesan tanpa Sandro kali ini kerana selepas dia pulih daripada kecederaan belakang yang dialaminya pada musim lalu, Sandro terus bangkit musim ini dan mempamerkan aksi bertenaga.

“Hasilnya dia sudah menghasilkan sembilan gol setakat ini iaitu enam gol dalam saingan Liga Super, satu gol di Piala FA dan dua gol dalam Piala Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here