Kenaikan gaji minimum perlu secara berperingkat, elak jejaskan PKS – Johari

0
114
Advertisement

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyokong idea gaji minimum sebanyak RM2,700 seperti digariskan oleh laporan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini, tetapi menegaskan kenaikan itu perlu secara berperingkat agar tidak menjejaskan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau berkata PKS membentuk tulang belakang kepada ekonomi negara dan menyumbang sebanyak 65 peratus, atau 6.8 juta pekerjaan.

“Jika ingin menaikkan gaji minimum, kita perlu memastikan mereka (PKS) dapat menyerapnya. Jika tidak boleh, mereka akan menutup perniagaan dan kita akan kehilangan pekerjaan,” katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan penjenamaan baharu Asian Finance Bank (AFB), yang kini dikenali sebagai MBSB Bank, di sini pada Isnin.

Dalam Laporan Tahunan 2017 BNM, bank pusat itu berkata berdasarkan kepada kajian pada 2016, paras gaji di Kuala Lumpur adalah daripada RM2,700 sebulan bagi individu kepada RM6,500 sebulan bagi pasangan dengan dua anak.

Pada masa ini, gaji minimum di negara ini sebanyak RM1,200 bagi sektor awam dan RM1,000 bagi sektor swasta.

Johari berkata bagi gaji minimum meningkat, ekonomi negara perlu terus berkembang.

“Hari ini, saiz ekonomi kita mencatatkan RM1.3 trilion. Oleh itu, mungkin dalam tempoh lima atau enam tahun akan datang jika ekonomi kita terus berkembang, syarikat akan dapat menyerap (gaji lebih tinggi); dan kita akan dapat menaikkan gaji minimum kita,” katanya.

Johari berkata langkah lain untuk menaikkan gaji minimum adalah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan menumpukan kepada automasi.

“Jika kita mahu memastikan negara ini mampu memberi gaji minimum yang dinyatakan oleh BNM, kita perlu memberi lebih perhatian kepada mengautomasikan semua perniagaan kita.

“Kita tidak boleh bergantung lagi kepada pekerja asing, dan kita perlu mengurangkan jumlah pekerja asing dalam semua industri yang bergantung kepada mereka,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan, Johari berkata, hasil daripada usaha berterusan kerajaan, Malaysia kini boleh berbangga dengan kedalaman pasaran kewangan negara.

Beliau berkata sistem kewangan Malaysia sehingga Januari tahun ini mencatatkan RM5.83 trilion, atau 450 peratus, daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Aset perbankan berjumlah RM2.56 trilion, atau 44 peratus, daripada sistem kewangan, dengan perbankan Islam membentuk 25 peratus, atau RM640 bilion, daripada jumlah aset perbankan.

“Pasaran modal Islam juga terus berkembang dengan jumlah RM1.9 trilion pada 2017, dan Malaysia mengekalkan kedudukan utamanya dengan bahagian pasaran sebanyak 38 peratus dalam terbitan sukuk global,” katanya.

Johari berkata permodalan pasaran saham berjumlah RM1.96 trilion, atau 33.6 peratus, daripada sistem kewangan, dan pasaran bon terkumpul sebanyak RM1.3 trilion, atau 22.4 peratus, daripada sistem kewangan.

Susulan pengambilalihan oleh Malaysia Building Society Bhd (MBSB), AFB kini dikenali sebagai MBSB Bank dan menjadi bank Islam sepenuhnya yang kedua terbesar di negara ini dengan saiz aset sebanyak RM43.7 bilion.

Bagaimanapun, MBSB akan kekal sebagai entiti yang tersenarai di Bursa Malaysia di sebalik langkah korporat baharu itu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here