Kenaikan PSC di klia2 akan jejas perjalanan – AirAsia

0
82
Advertisement

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Asia, AirAsia, berkata penyeragaman caj perkhidmatan penumpang (PSC) antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) mungkin memberi impak negatif ke atas industri pelancongan.

Pengerusi Eksekutif AirAsia Datuk Kamarudin Meranun, berkata kajian terperinci perlu dilakukan sebelum Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menaikkan PSC ke atas pelepasan antarabangsa dari klia2.

“Saya rasa tidak wajar mengenakan caj ke atas pengguna bagi jenis perkhidmatan yang sama yang ada di KLIA dan klia2.

“Ada gambaran lebih besar mengenainya. Dengan menurunkan atau mengekalkan PSC, lebih ramai orang akan menggunakan perkhidmatan udara, anda merrangsang lebih banyak perjalanan dan akan memberi kesan pengganda ke atas ekonomi secara menyeluruh,” katanya selepas melancarkan wajah baharu majalah perjalanan AirAsia 3Sixty sempena meraikan sambutan ulang tahun ke-10nya di sini pada Jumaat.

Mavcom sebelum ini merancang menyeragamkan kadar antara dua terminal, dengan PSC antarabangsa klia2 akan dinaikkan daripada RM50 kepada RM73, menyamai kadar pelepasan antarabangsa di KLIA, mulai Januari depan.

Namun, suruhanjaya itu baru-baru ini berkata semakan semula kadar terbabit masih dijalankan.

“Kami berharap kerajaan akan mengkajinya dan menimbang semula cadangan daripada Mavcom. Kajian mendalam perlu dilakukan sebelum pelaksanaannya.

“Kami percaya wujud perbezaan besar antara KLIA dan klia2. Dapatkan pandangan jujur daripada pengguna. Jika caj PSC setara, ia akan memberi kesan ke atas perjalanan,” katanya.

Majalah AirAsia Travel 3Sixty berwajah baharu itu mengandungi logo baharu, kandungan serta penjenamaan menyeluruh, dan syarikat penerbangan itu juga melancarkan laman web baharu Travel 3Sixty.com yang merupakan sebahagian daripada strategi pendigitalannya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here