Kenali mangga harumanis elak ditipu penjual – KP Pertanian

0
57



KANGAR: Peminat buah mangga harumanis tentunya sanggup ke Perlis untuk membelinya tetapi awas, ada penjual tidak bertanggungjawab mendakwa mereka menjual buah itu sedangkan ia adalah daripada jenis lain termasuk yang dibawa dari negara jiran.

Bagi mereka yang mahukan kepastian dan mendapat sedikit ilmu untuk mengenal buah yang harum dengan harga mencapai RM26 sekilogram, bolehlah singgah di ladang harumanis milik Jabatan Pertanian Perlis di Pusat Kecemerlangan Harumanis Bukit Bintang, Sungai Batu Pahat di sini.

Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek berkata selain dapat melawat kawasan ladang harumanis milik jabatan itu dengan menaiki kereta api khas yang disediakan, pengunjung juga diberi taklimat ringkas dan diajar bagaimana untuk mengenal mangga harumanis.

“Ini kerana ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan menjual mangga lain dan mendakwa ia harumanis.

“Jadi, pengetahuan itu dapat membantu mereka yang datang ke Perlis daripada ditipu penjual tidak bertanggungjawab,” katanya selepas melawat ladang berkenaan di sini pada Khamis.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pertanian Perlis, Zulkepli Amin Mat Jusoh.

Sementara itu, Ahmad Zakaria berkata pokok mangga harumanis boleh ditanam di negeri lain selain Perlis, asalkan tempat itu mempunyai keadaan yang spesifik seperti negeri itu termasuk cuaca panas bagi tempoh dua hingga tiga bulan.

Menurutnya secara agronomi, pokok mangga harumanis yang sinonim dengan Perlis, boleh ditanam di mana-mana namun pengusahanya perlu memikirkan faktor penting seperti kesesuaian tanah serta cuaca.

“Kalau diikutkan di Malaysia ini kalau nak tanam apa pun boleh namun kesesuaian untuk berbunga mengikut keadaan pokok itulah. Proses pendebungaan memerlukan keadaan yang sesuai bagi pokok dan apabila bunga telah terbentuk menjadi buah, buahnya berisiko untuk gugur dengan banyak jika hujan,” katanya.

Ahmad Zakaria berkata Perlis merupakan negeri kluster harumanis tetapi terdapat beberapa kajian dan percubaan menanam harumanis di beberapa lokasi seperti di Serdang, Johor dan Kedah untuk meningkatkan kuantiti buah itu.

Menurutnya Jabatan Pertanian juga sangat berhati-hati untuk menyarankan petani di luar Perlis menanam pokok harumanis kerana perubahan cuaca sekarang mempengaruhi indeks buah itu untuk masak.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here