Kenanga jangka BNM kekalkan OPR pada 3.25 peratus sehingga akhir tahun

0
131
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kenanga Investment Bank Bhd menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus hingga akhir tahun ini untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.

Kenanga berkata, Rizab Persekutuan Amerika Syarikat memberi isyarat mengenai dua lagi kenaikan kadar menjelang akhir tahun, yang mungkin mencetuskan aliran keluar dana dari pasaran pesat membangun.

“Ada kemungkinan ketegangan perdagangan semasa akan meningkat dan bertukar menjadi perang perdagangan global, yang akan turut menjejaskan pasaran,” kata bank pelaburan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Selain mengekalkan OPR pada tahap itu, BNM pada mesyuarat jawatankuasa dasar monetari keempatnya juga mengekalkan kadar keperluan rizab (SRR) pada 3.50 peratus.

BNM juga mengunjurkan kadar inflasi yang lebih rendah.

“Sejajar dengan unjuran kami, BNM berkata inflasi menyeluruh bagi 2018 diunjurkan lebih rendah daripada unjuran terdahulu, dengan mengambil kira impak daripada langkah-langkah dasar terhadap faktor kos domestik baru-baru ini.

“Impak daripada langkah itu, seperti kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan dan subsidi bahan api ke atas inflasi, menurut BNM ‘ sebagai sementara, dan pada kedudukan ini, indeks harga pengguna rasmi (IHP) yang diunjurkan pada 2.0 peratus – 3.0 peratus bagi 2018, akan disemak semula,” katanya.

Kenanga Investment sebelum ini menyemak unjuran IHP 2018 kepada 1.8 peratus daripada 2.8 peratus.

Mesyuarat MPC akan datang dijadualkan pada 5 Sept. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here