Kenapa 17 kementerian tak capai KPI bumiputera 100%?

0
61



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan lapan kementerian berjaya mencapai sasaran 100 peratus Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) bagi tahun lepas.

Bagaimanapun perkara itu tidak cukup bagi kumpulan pendesak Melayu PERKASA, yang berhujah ia hanya mewakili 32 peratus sahaja daripada keseluruhan 25 kementerian.

Justeru, soal naib presidennya Datuk Ruhanie Ahmad, apakah sebab-sebab 68 peratus lagi kementerian gagal mencapai sasaran KPI itu.

Kementerian-kementerian yang mencapai sasaran KPI 100 peratus adalah Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dalam Negeri, Luar, Belia dan Sukan, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

PERKASA turut menyenaraikan beberapa kementerian yang tidak mencapai KPI 100 peratus, termasuk Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.

“Perdana menteri perlu menjelaskan, KPI aspek manakah yang gagal dicapai oleh 17 kementerian berkenaan, dan apakah usaha untuk mengatasinya bagi KPI tahun 2017,” kata Ruhanie.

Dalam kenyataan hari ini, Ruhanie juga mencadangkan agar syarat-syarat penentuan KPI itu mulai tahun ini merangkumi elemen urus tadbir yang telus, antipenyelerwengan dan salah guna kuasa, serta bersifat anti-rasuah.

“Ini disebabkan perbuatan melanggar sistem urus tadbir yang berhemah, dan jenayah rasuah di kalangan sektor awam, kini semakin berleluasa,” kata Ruhanie.

“Oleh itu, perdana menteri mesti menjadikan urus tadbir berhemah dan tindakan anti-rasuah sebagai elemen penting dalam KPI Malaysia mulai 2017,” tambahnya yang juga pengerusi biro ekonomi dan agenda nasional bumiputera PERKASA.

PEB: 8 kementerian capai sasaran KPI 100%

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here