Keprihatinan Madonna buka hospital kanak-kanak di Malawi

0
57

BLANTYRE: Sebuah hospital kanak-kanak yang diasaskan penyanyi tersohor Amerika Syarikat, Madonna, telah dibuka semalam.

Pembukaan Mercy James Centre for Paediatric Surgery and Intensive Care di kota Blantyre, Malawi, dirasmikan oleh presiden negara tersebut, Peter Mutharika.

Hospital kanak-kanak itu merupakan yang pertama dibuka di Malawi di bawah naungan pertubuhan amal milik Madonna, Raising Malawi.

“Kami akan memastikan hospital ini menjadi bukan sahaja sebuah hospital kanak-kanak bertaraf antarabangsa, tetapi juga sebuah pusat pembelajaran yang cemerlang.

“Rawatan dan pemerkasaan akan diberikan penekanan yang sama,” kata Madonna ketika berucap pada majlis perasmian itu.

Mercy James Centre for Paediatric Surgery and Intensive Care dinamakan sempena anak angkat Madonna, Mercy James, yang dipeliharanya sejak 2009.

Selain Mercy James, Madonna mempunyai tiga lagi anak angkat Malawi iaitu David Banda dan pasangan adik-beradik kembar, Esther dan Stella Mwale.

Mutharika dalam pada itu menyifatkan Madonna sebagai simbol semangat keibuan dan menambah bahawa hospital tersebut adalah kebanggaan Malawi.

Penyanyi berusia 58 tahun itu telah menubuhkan sebuah badan amal diberi nama Raising Malawi pada 2006 bagi menyediakan rawatan kesihatan dan pendidikan buat kanak-kanak miskin di Malawi, terutamanya kanak-kanak perempuan.

Badan amal tersebut telah membina 10 buah sekolah di negara itu.

Menteri kesihatan Malawi, Peter Kumpalume berkata hospital tersebut akan menyelamatkan nyawa bayi yang baru lahir di sebuah negara yang mempunyai antara kadar kematian bayi paling tinggi di dunia.

“Kami menyokong penuh pembinaan hospital ini dan akan membantu untuk memudahkan kemasukan para doktor dan ubat-ubatan,” tambah Peter.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here