Keputusan pembangkang kekalkan GST bukti ia sistem percukaian adil – MB Johor

0
77



JOHOR BAHRU: Keputusan pakatan pembangkang untuk mengekalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST ) sekiranya berjaya mengambil alih kuasa dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti membuktikan GST adalah sistem percukaian yang adil, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata GST yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah sistem percukaian yang paling adil dan telah diamalkan oleh banyak negara bagi mengutip hasil secara mampan.

“GST ini sekurang-kurangnya mengurangkan kebocoran (ketirisan) walaupun pada mulanya (pelaksanaannya) ada masalah yang timbul,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program i-Move kerajaan negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dua hari lepas yang menyatakan GST akan dikekalkan sekiranya pakatan pembangkang mengambil alih kuasa.

Mohamed Khaled berkata beliau tidak terkejut dengan kenyataan itu kerana pembangkang tidak pernah konsisten dalam kenyataan mereka demi kepentingan agenda mereka, sedangkan mereka sebelum ini membantah GST.

“Saya ingat ia bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana pembangkang suka hendak membawa persepsi untuk rakyat terus menghukum.

“… tetapi nanti, apabila ada apa-apa kes dan pergi ke mahkamah untuk dibicarakan, baru kita tahu benda yang sebenarnya tetapi rakyat telah terpengaruh dengan persepsi yang dibawa pembangkang,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here