Kerajaan belum muktamadkan hala tuju projek ECRL – Lim

0
234
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih belum memuktamadkan hala tuju Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), sama ada meneruskannya atau tidak, tertakluk kepada hasil rundingan yang sedang dijalankan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menurutnya, kerajaan negeri Selangor menentang projek ECRL kerana rangkaian kereta api dari Gombak ke Pelabuhan Klang akan menjejaskan permohonan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Sekiranya kerajaan bercadang meneruskan projek ini, kajian teliti harus dilaksanakan dari segi persetujuan kerajaan negeri Selangor, skop, spesifikasi dan kaedah pelaksanaan supaya kos keseluruhan projek dapat dikurangkan agar dapat meringankan lagi beban kewangan kerajaan.

“Sekiranya kerajaan bercadang untuk tidak meneruskannya, kemungkinan besar ia akan dirujuk kepada prosedur perundangan bagi menentukan jumlah bayaran pampasan, jika ia perlu dibayar,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (BN-Maran) yang ingin tahu status terkini projek berkenaan dan justifikasi peningkatan kos pembinaan daripada RM55 bilion kepada RM70 bilion.

Selepas mengambil kira kos pengambilan tanah (RM2.5 bilion), modal kerja (RM50 juta) dan lain-lain kos operasi (RM500 juta), keseluruhan kos pembangunan adalah RM69.83 bilion, menurut Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Namun begitu, kos projek ECRL yang sebenar adalah sebanyak RM80.92 billion dan ini terdiri daripada kos pembangunan sebanyak RM69.83 bilion dan kos pembiayaan sebanyak RM11.09 bilion.

“Kos-kos berkaitan pembiayaan sebanyak RM11.09 bilion merangkumi bayaran faedah, kupon sukuk, yuran komitmen dan yuran pengurusan sewaktu pembinaan (kos faedah pinjaman selepas pembinaan belum diambil kira).

“Kos dinyatakan ini adalah bukan kos yang baharu kerana anggaran kos keseluruhan ini adalah daripada pentadbiran kerajaan terdahulu dan tidak pernah didedahkan kepada umum,” katanya.

Sekiranya, kerajaan berhasrat meneruskan projek ECRL, ia terpaksa berhadapan dengan kos penyelengaraan sekitar RM600 juta hingga RM1 bilion setahun, tambah Lim.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here