Kerajaan disaran turunkan harga ubat, kos perubatan

0
361
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada penurunan kos perubatan dalam usaha menurunkan kos sara hidup rakyat, kata Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Martin Khor.

Menurutnya, harga ubatan dan rawatan untuk penyakit kritikal di Malaysia ketika ini amat mahal.

“Ada satu kajian menunjukkan, rakyat perlu berbelanja lebih RM1,000 untuk sekali rawatan penyakit kritikal. Ramai yang tidak mampu.

“Contohnya kanser, ada beberapa rawatan yang terlalu mahal,” katanya selepas mengemukakan cadangan penurunan kos perubatan kepada Majlis Penasihat Kerajaan di ibu negara hari ini.

Sebagai contoh, Khor memetik langkah Kementerian Kesihatan yang telah menurunkan kos ubat Hepatitis C daripada RM300,000 kepada hanya RM1,000 pada Mac lalu.

“Ubat ini mempunyai kebarangkalian sembuh sehingga 95 peratus,” katanya, sambil menambah ia mampu menyelamatkan sejumlah 500,000 pesakit itu di negara ini.

Pada masa sama, Khor berharap, setiap perjanjian dagangan bebas perlu melihat secara khusus klausa Harta Intelek (IP) berkaitan ubat-ubatan bagi memastikan harganya tidak naik melambung.

“Sekarang kita sudah bersetuju dengan Perjanjian CPTPP. Untuk Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) masa hadapan, kita perlu fokus kepada klausa IP untuk elak harga ubat melambung tinggi.”

Beliau mengulas klausa IP di bawah Perjanjian Komprehensif Trans Pasifik (CPTPP) dan Kerjasama Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) yang dijangka meningkatkan harga ubat-ubatan.

Kerajaan setakat ini masih lagi mengkaji klausa IP di bawah kedua dua perjanjian itu.

Ditanya berkaitan kawalselia terhadap hospital swasta, Khor berkata ia sememangnya dikawal, namun tidak terlalu ketat.

“Kos di hospital swasta sangat tinggi. Ini perlu dikaji,” katanya sambil menambah, meskipun pengguna mempunyai pilihan di hospital kerajaan, ia menyebabkan masalah kepadatan pesakit di hospital.

Selain itu, beliau turut mengesa kerajaan melihat kepada isu perpindahan pakar dari hospital kerajaan ke hospital swasta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here