Kerajaan PH ambil jalan mudah penuhi janji manifesto – UMNO

0
658
Advertisement

KUALA LUMPUR: UMNO beranggapan, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai ahli yang dapat berfikir secara ‘outside the box’ atau di luar kotak bagi memenuhi janji manifestonya, kecuali mengambil jalan mudah.

Menurut UMNO, rakyat bimbang dengan hasrat Kerajaan PH yang semakin tidak menentu dalam membuat keputusan membabitkan ekonomi negara.

Ini termasuk, terperangkap dalam pelbagai cadangan pihak tertentu yang tiba-tiba timbul, termasuk menjual 25 peratus pegangan dalam PETRONAS bagi melunaskan hutang 1MDB dan hutang luar yang diwar-warkan bernilai RM 1 trilion.

“Berhentilah daripada mempolitikkan hutang negara. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, sendiri mengesahkan bahawa hutang negara cuma RM686.8 bilion dan bukannya RM1.0 trilion,” menurut parti berkenaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Strategik, Ibu Pejabat UMNO, pada Isnin.

Kerajaan sepatutnya memikirkan cara bagaimana untuk meningkatkan prestasi PETRONAS di dalam dan luar negara, menambah pegangan asing dan menaikkan pendapatan, daripada mengambil jalan mudah mencari wang untuk mengotakan janji-janji di dalam manifestonya, kata UMNO.

Menurut parti berkenaan, pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini sudah menguruskan hutang kerajaan dengan baik serta belum pernah gagal melunaskan pembayaran hutang dan pada masa sama, mampu memacu perkembangan ekonomi negara dengan pesat.

Kata UMNO lagi, Kerajaan PH juga enggan mengiktiraf sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9 peratus yang dibuat oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa, serta hakikat bahawa aset 1MDB mampu membiayai hutangnya sendiri.

– BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here